Oleh Sim Y. H.
UNITED KINGDOM, 14 DIS – Dengan matlamat untuk meningkatkan dan memperkasa ilmu pengetahuan serta motivasi para pelajar dalam amalan keagamaan, Persatuan Pelajar-pelajar Pegawai Ugama Brunei (BruROSA) telah mengadakan Kem Ibadah tahunan dengan membawa tema The Fighter Within You pada 26 hingga 28 November lalu di YHA Patterdale, Penrith.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh BruROSA, di sini, kem berkenaan disertai oleh seramai 50 orang pelajar daripada pelbagai bahagian di United Kingdom dan Ireland di mana perasmian kem itu menyaksikan ucapan alu-aluan oleh Pengarah Pengajian, Unit Penuntut-penuntut (UPP), Awang Mohammad Danny bin Aimi dan Presiden BruROSA serta Pengerusi Kem, Awang Muhammad Fikri bin Haji Ali dari University of Southhampton.
Majlis diikuti dengan bacaan Surah Al-Mulk dan tafsirnya.
Sepanjang kem itu, para peserta telah mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti membina pasukan di dalam dan luar. Kem juga diisi dengan ceramah Islam, perbincangan dan sesi perkongsian mengenai kisah-kisah Nabi Muhammad SAW, manfaat menunaikan ibadah dan merenung erti surah-surah dalam Al-Quran.
Pada penghujung kem berkenaan, para pelajar telah menghadiri forum mengenai Istiqamah yang disampaikan oleh Pegawai Ugama UPP, Awang Muhammad Fahmi bin Haji Abas dan Dr Widad binti Abdul Aziz.
Hari terakhir kem menyaksikan ucapan penutup yang disampaikan oleh Komandan Kem berkenaan, Awang Ahmad Zakwan bin Haji Mohd Salleh dari Imperial College London dan Dayang Amiratul Iffah binti Mohd Idres dari University of Bath.
Ia diikuti dengan acara penyampaian hadiah kepada kumpulan dan peserta terbaik, tayangan video serta sesi bergambar.