BruXchange lancar tempahan mata wang dalam talian

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 OKT – Pengurup Wang BruXchange, hari ini, telah melancarkan platform tempahan mata wang dalam talian yang pertama di Brunei yang membolehkan para pelanggan untuk memeriksa kadar pertukaran langsung dan mata wang simpanan untuk pengambilan.

Para pelanggan boleh membuat pesanan mata wang dalam tiga langkah yang mudah setelah mendaftar di laman sesawang mereka, iaitu pilih mata wang dan jumlah yang hendak ditukar, bayar dalam talian dengan BruPay dan kemudian ambil pesanan mereka dalam masa tujuh hari di kaunter BruXchange di Kiulap.

Pengarah Pengurup Wang Bru-Xchange, Haji Sophian bin Dato Seri Setia Dr Haji Mat Suny semasa ditemui media telah mengumumkan pelancaran laman sesawang mereka yang menandakan satu lagi kejayaan ke arah ekonomi digital.

“Kami sentiasa berusaha untuk membuat dan menyampaikan produk inovatif yang meningkatkan kesaksamaan dan kebolehcapaian perkhidmatan yang ada, sejajar dengan Pelan Induk Ekonomi Digital 2025 kerajaan dan cita-cita untuk menjadi sebuah negara pintar.

“Kami menyedari kesan COVID-19 terhadap industri pelancongan. Projek ini dimulakan sebelum ada maklumat awam mengenai virus tersebut, dan pelancaran ini hanya untuk mengumumkan bahawa teknologi ini ada di sini dan tersedia untuk digunakan,” ujar beliau.

Menurut beliau, buat masa ini mereka mengekalkan waktu pengutipan semasa waktu pejabat dan setelah semuanya dapat kembali normal daripada COVID-19, mereka akan melanjutkan waktu pejabat agar orang ramai dapat mengutip wang mereka.

Laman sesawang tersebut mempunyai kadar jual beli 18 mata wang harian dan juga penukar (converter) mata wang agar pengguna dapat mengira jumlah yang ingin ditukar dengan tidak dimestikan (obligation) untuk membuat pesanan. Platform berkenaan juga
memberitahu pengguna mengenai ketersediaan mata wang semasa proses pesanan, menjimatkan perjalanan mereka dan mengelakkan daripada kemungkinan kekecewaan jika mata wang kehabisan stok.

BruXchange telah dibuka pada Disember 2019 dan dilesenkan serta dikawal selia oleh Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD).

Haji Sophian ketika ditemui media, kelmarin, mengumumkan pelancaran laman sesawang BruXchange.