BSBIA adakan kegiatan berkebajikan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JUN – Dengan hasrat untuk menyahut seruan bagi membantu golongan yang memerlukan khususnya mereka yang memerlukan darah dan menambah simpanan darah, kira-kira 100 orang ahli Persatuan India Bandar Seri Begawan (BSBIA) menyertai Kempen Menderma Darah BSBIA yang diadakan di Pusat Pendermaan Darah, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), hari ini.

Hadir dan turut serta dalam kempen itu ialah Presiden BSBIA, Ravi Chandran; Naib Presiden BSBIA, Mohd Mubarak; Setiausaha Agung BSBIA, Murugesam dan ahli-ahli persatuan yang sama-sama hadir untuk menderma dalam kegiatan berkebajikan itu.

Ravi Chandran dalam temu bual ringkas bersama Media Permata menyatakan bahawa kempen itu merupakan acara tahunan yang dikendalikan oleh persatuan yang mana ia mula dilaksanakan lebih 15 tahun lalu dan ia juga adalah sebahagian daripada khidmat bakti masyarakat bagi persatuan berkenaan.

“Kami ingin terus menaburkan bakti kepada masyarakat Brunei dan ini merupakan salah satu usaha murni daripada masyarakat India untuk memberikan bantuan kepada mereka yang memerlukan,” tambah beliau.

Sementara itu, ketua penyelaras kempen berkenaan, Suresh Borigam menyatakan bahawa kempen amal tahunan itu merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial me- reka untuk menabur bakti kepada masyarakat.

Beliau berkata bahawa pihak persatuan mengambil maklum bahawa terdapat keperluan untuk meningkatkan kesedaran mengenai pentingnya untuk menderma darah dan menambahkan simpanan darah bagi mereka yang memerlukan oleh sebab itu persatuan tersebut mengambil keputusan untuk mengadakan kempen menderma darah tersebut.

Ravi Chandran (satu dari kiri-duduk) bergambar ramai dengan ahli-ahli BSBIA yang turut serta menjayakan Kempen Menderma Darah BSBIA yang berlangsung di Pusat Pendermaan Darah, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, hari ini.