Friday, April 26, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    BSM hargai komitmen Juara Servis

    Oleh Mu’min Karim
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 SEPT – Sebagai tanda penghargaan atas khidmat lama Juara Servis, Syarikat Pemasaran Brunei Shell Sdn Bhd (BSM) telah mengadakan acara Hari Juara Servis yang berlangsung di Tarindak D’Seni, di ibu negara hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Setiausaha Tetap (Tenaga) di Jabatan Perdana Menteri, Haji Azhar bin Haji Yahya.

    Majlis menyaksikan 17 Juara Servis menerima sijil setelah berkhidmat selama 20, 25, 30 dan 35 tahun.

    Di samping itu, enam orang terdiri daripada pengurus dan pemilik stesen minyak menerima sijil tamat Kursus Retail Start Up yang bertujuan memberikan pengenalan, kefahaman dan kemahiran dalam pengurusan perniagaan stesen minyak.

    Turut menerima sijil pada majlis itu ialah 37 orang Duta Kesihatan, Sekuriti dan Keselamatan dan Alam Sekitar (HSSE) Runcit yang dilantik.

    Haji Azhar menyampaikan Sijil Perkhidmatan Kerja Lama kepada Sharifah Sa’adiah yang telah berkidmat dengan BSM lebih 35 tahun.
    Haji Azhar bergambar ramai bersama 37 Duta HSSE Runcit yang turut menerima sijil pada majlis berkenaan.

    Pengarah Urusan BSM, Awang Muhammad Norshafiee bin Dato Paduka Haji Abdul Jalil dalam ucapan alu-aluannya berkata, Duta HSSE Runcit bertanggungjawab bagi pelaksanaan proses dan pematuhan peraturan HSSE.

    “Duta HSSE Runcit antara lain bertanggungjawab dalam memantau dan melaporkan prestasi HSSE di stesen masing-masing,” tambahnya.

    Dalam pada itu, beliau turut menyatakan bahawa duta-duta berkenaan telah menjalani latihan selama empat hari dan mengikuti kursus Latihan Pertolongan Cemas, pengendalian pelanggan yang sukar dan prosedur tindak balas kecemasan.

    Beliau juga menyatakan penghargaannya atas komitmen pencapaian 7 juta jam tanpa kehilangan masa insiden (LTI) dan diperkukuh lagi dengan pelancaran kempen kesedaran keselamatan Fill Safe, Feel Safe siri keempat dalam menyediakan persekitaran mengisi minyak yang selamat kepada pelanggan.

    Majlis juga mendengarkan ceramah motivasi yang disampaikan oleh Awang Khairul Muaz bin Haji Sibodaud.

    Beliau menekankan bahawa menjaga keselamatan pengunjung adalah perkara yang dituntut oleh ajaran agama Islam iaitu Rahmatan Lil Alamin yang bermaksud rahmat sekalian alam yang bukan sahaja memfokuskan kepada akhirat sahaja, bahkan juga rahmat dan kasih sayang di dunia ini.

    Selain itu, beliau juga menekankan bahawa hukum menjaga nyawa adalah wajib seperti yang dituntut dalam Maqasid Syariah.

    Salah seorang penerima sijil, Sharifah Sa’adiah binti Tuanku Ali dari Stesen Minyak SPM Kuala Belait yang telah berkhidmat dengan BSM selama lebih 35 tahun melahirkan rasa syukur kerana dianugerahkan Sijil Perkhidmatan Kerja Lama.

    Menurutnya, beliau telah melalui pelbagai pengalaman pahit manis sepanjang perkhidmatan yang setentunya menguatkan lagi mental dan fizikal dalam menempuh
    ujian.

    “Nasihat saya kepada atendan pam stesen minyak adalah untuk sentiasa berhati-hati dalam melaksanakan tugas dan sabar apabila berdepan dengan kerenah pelanggan,”
    katanya.

    Beliau turut menggesa orang ramai untuk mematuhi peraturan-peraturan apabila berada di stesen minyak seperti mematikan enjin dan elak bermain telefon bimbit.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...