BSM hulur sumbangan kepada 52 pelajar di Temburong

Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan BSM

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 JUN – Syarikat Pemasaran Brunei Shell Sdn Bhd (BSM), hari ini, telah menyampaikan sumbangan kepada seramai 52 orang pelajar kurang berkemampuan di Daerah Temburong.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh BSM, syarikat berkenaan menyumbangkan derma berupa peralatan tulis dan keperluan harian lain dengan sokongan daripada Kluster 1, Jabatan Sekolah-sekolah di bawah Kementerian Pendidikan.

Kenyataan menyatakan lagi bahawa kegiatan penyampaian derma berkenaan diketuai oleh Pengarah Urusan BSM, Awang Muhammad Norshafiee Dato Paduka Haji Abdul Jalil.

Awang Muhammad Norshafiee dipetik menyatakan bahawa disebabkan tidak dapat mengunjungi semua orang bagi Sambutan Hari Raya, mereka amat gembira dapat melawat beberapa orang penerima di mana rumah mereka yang berada jauh dari bandar serta pada masa yang sama, mengamalkan penjarakan sosial.

“Kami amat bangga untuk memainkan peranan dalam membantu pelajar-pelajar kurang berkemampuan di Temburong di mana ia adalah selaras dengan komitmen kami untuk memacu masa depan Brunei,” tekannya.

Beliau turut menyatakan perasaan amat gembira kerana mempunyai hubungan kerjasama swasta-awam yang kukuh dengan Kluster 1, Jabatan Sekolah-sekolah selama lebih lima tahun dan menyatakan harapan bahawa kerjasama itu akan terus berkembang pada tahun-tahun akan datang.

Kenyataan menyatakan bahawa sumbangan kepada pelajar-pelajar kurang berkemampuan di Daerah Temburong diadakan setiap tahun oleh BSM.

Awang Muhammad Norshafiee menyampaikan sumbangan kepada salah seorang pelajar kurang berkemampuan di Daerah Temburong.
Antara wakil pihak pengurusan BSM yang menyampaikan sumbangan di Temburong.