Friday, December 6, 2024
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    BSM, Indera Motors meterai kerjasama strategik

    Oleh Sim Y.H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 NOV – Syarikat Pemasaran Brunei Shell Sdn Bhd (BSM) dan Indera Motors Sdn Bhd menandatangani perjanjian kerjasama strategik dalam usaha mereka untuk mempromosikan perkhidmatan dan produk kenderaan elektrik (EV) di Negara Brunei Darussalam.

    Majlis penandatanganan yang diadakan di Dewan Pameran Indera Motors, Beribi, hari ini, menyaksikan Pengarah Urusan BSM, Awang Mohammed Alexirwan bin Haji Omar menandatangani bagi pihak BSM dan disaksikan oleh Ketua Kecemerlangan Pelanggan BSM, Awang Mohd Adini bin Haji Mohd Daini.

    Sementara itu, menandatangani bagi pihak Indera Motors ialah Pengarah Urusan Indera Motors Sdn Bhd, Yang Amat Mulia Pengiran Anak Haji Abdul Ghaffar dan disaksikan oleh Pengurus Besar Indera Motors Sdn Bhd, Alfred Yong Foh Sen.

    Sebagai sebahagian daripada kolaborasi berkenaan, Indera Motors, pengedar rasmi Jaguar dan Land Rover di Brunei, akan menawarkan pelanggannya penyelesaian pengecasan EV menerusi Shell Recharge.

    Inisiatif itu menyokong perkembangan penerimaan EV dan mencerminkan komitmen peralihan kedua-dua buah syarikat kepada alternatif mesra alam.

    YAM Pengiran Anak Haji Abdul Ghaffar (dua kiri) dan Awang Mohammed Alexirwan (dua kanan) selepas menyempurnakan penandatanganan kerjasama strategik berkenaan. – GAMBAR OLEH JAMES KON
    GAMBAR OLEH JAMES KON

    Mengulas mengenai kerjasama berkenaan, Awang Mohammed Alexirwan menyatakan keterujaan bekerjasama dengan Indera Motors untuk menyokong peralihan Brunei ke arah mobiliti elektrik. Kerjasama itu membolehkan mereka untuk menawarkan penyelesaian pengecasan yang mudah dan boleh diakses bagi pemilik-pemilik EV Jaguar dan Land Rover.

    “Di BSM, kami percaya dalam kolaborasi untuk memacu inovasi,” kata Awang Mohammed Alexirwan. Beliau juga mengalu-alukan pengedar lain untuk meneroka bagaimana Shell Recharge dapat me-ningkatkan pengalaman pelanggan mereka dan menyokong peralihan mobiliti elektrik.

    Sementara itu, YAM Pengiran Anak Haji Abdul Ghaffar menyatakan menerusi kerjasama strategik dengan BSM, pihaknya teruja untuk membawa visi Reimagine Jaguar Land Rover ke Brunei dengan memperkasakan pelanggan mereka de-ngan penyelesaian EV yang lancar.

    Menerusi rangkaian Shell Recharge, BSM terus komited untuk menyediakan pemandu EV Brunei dengan pilihan pengecasan yang mudah dan boleh dipercayai, sama ada di rumah, di stesen minyak atau di tapak pengecasan awam.

    Perkhidmatan yang ditawarkan termasuk penilaian pengecasan di rumah di mana penilaian pengecasan disediakan untuk pengecas EV rumah, bekalan pengecas EV canggih iaitu pengecas berprestasi tinggi yang serasi dengan model kenderaan elektrik moden serta perkhidmatan pemasangan dan pematuhan keselamatan iaitu pemasangan profesional yang mematuhi standard keselamatan global justeru memastikan ia boleh dipercayai dan selamat untuk pelanggan.

    Di samping itu, para pelanggan juga boleh mengakses kepada stesen pengecasan Shell Recharge yang tersedia di seluruh Brunei termasuk pengecas pantas pertama negara yang terletak di Stesen Minyak IBA di Lambak.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda