BANDAR SERI BEGAWAN, 13 OKT – Syarikat Pemasaran Brunei Shell Sdn Bhd (BSM), hari ini, telah menghoskan majlis pertemuan rakan-rakan niaga di Auditorium Utama Bangunan Reka Bentuk dan Teknologi, Anggerek Desa.
Acara itu merupakan peluang untuk berhubung dengan rakan-rakan niaganya mengenai produk-produk Shell Helix Power dan Shell Rimula yang dilancarkan baru-baru ini, di samping barisan produk Shell Car Care yang akan datang, menurut kenyataan yang dikeluarkan BSM.
Hadir pada acara itu ialah Pengarah Urusan BSM, Awang Muhammad Norshafiee bin Dato Paduka Haji Abdul Jalil.
Kenyataan menyatakan, semasa acara itu, BSM mengendalikan sesi-sesi taklimat mengenai produk-produk pelincir berprestasi tinggi keluarannya yang terkini.
Shell Helix Power 0w 40 adalah pelincir berprestasi tinggi terkini yang memasuki pasaran Brunei di samping Shell Rimula R6, minyak enjin sintetik sepenuhnya yang mempromosikan pembersihan dan perlindungan tinggi kepada enjin-enjin diesel.
Di samping itu, BSM turut berkongsi gambaran mengenai barisan Shell Car Care yang akan datang bagi pelanggan yang mencari produk-produk mudah digunakan untuk melengkapkan keperluan kenderaan mereka.
Barisan produk penjagaan itu termasuk produk bagi pembersihan kaca, penjagaan dalaman dan luaran kereta, penyelenggaraan dan cecair prestasi bagi perjalanan lebih baik.
Mereka yang menghadiri sesi itu juga berpeluang untuk mengetahui lebih lanjut mengenai platform kesetiaan digital akan datang yang dibangunkan eksklusif bagi rakan-rakan niaga BSM.
Kenyataan menjelaskan, platform-platform berkenaan akan mengendalikan insentif-insentif untuk rakan-rakan dan membantu mereka menguruskan perniagaan dengan lebih baik dengan laporan-laporan dalam masa sebenar dan statistik mengenai prestasi perniagaannya.
Acara berkenaan diadakan dalam dua sesi berasingan, pagi dan petang, dengan dihadiri oleh kira-kira 100 orang.