BSM lancar kempen #BeliAwal

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 MEI – Orang ramai diseru untuk membeli minyak lebih awal sebelum kedatangan Hari Raya Aidilfitri menerusi Kempen Kesedaran #BeliAwal yang dilancarkan oleh Syarikat Pemasaran Brunei Shell Sdn Bhd (BSM) setiap Ramadan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh BSM, hari ini, kempen berkenaan bertujuan untuk mendorong orang ramai merancang perjalanan mereka lebih awal dan memastikan persiapan yang lancar menjelang musim perayaan yang akan datang.

Kenyataan turut memaklumkan bahawa, para pelanggan akan dapat terus mengisi minyak di sepanjang Sambutan Hari Raya berlangsung di seluruh negara kerana sebanyak 18 buah stesen minyak yang akan dibuka pada 1 Syawal dan 31 buah stesen lagi akan dibuka pada 2 Syawal, manakala pada 3 Syawal kesemua stesen akan beroperasi seperti biasa.

Dalam pada itu, pelanggan juga dapat mengambil kesempatan ini untuk mengisi minyak Shell V-Power dan mengambil bahagian dalam promosi Shell Motorsport Collection eksklusif yang sedang berlangsung dengan setiap pembelian bahan bakar Shell V-Power (gasoline atau diesel) setiap pelanggan berhak mendapat satu pelekat Flag Off.

Dengan Shell V-Power, pelanggan juga akan mendapatkan pembersihan cermin depan percuma di Shell V-Power Premium Lanes, yang sudah tersedia di Stesen Minyak TAIB Beribi, Stesen Minyak Hjh Badariah Katok, Stesen Minyak KOPPMB Menglait, Stesen Minyak KOPEKLAP Lubok Pulau dan Stesen Minyak Roxana Seria.