BSM siasat isu pencemaran minyak

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 JUN – Syarikat Pemasaran Brunei Shell Sdn Bhd (BSM) telah mengesahkan bahawa mereka menerima laporan mengenai apa yang dipercayai  pencemaran minyak di Stesen Minyak IBA Sdn Bhd di Lambak, hari ini.

Selepas menerima laporan itu, stesen minyak berkenaan telah menghentikan operasinya dan hanya akan dibuka semula selepas mengesahkan bahawa stesen berkenaan bebas daripada pencemaran.

BSM dalam kenyataannya memberi jaminan bahawa siasatan telah dijalankan dan mengesahkan bahawa hanya sebuah stesen yang terjejas.

Dalam hal ini, BSM menasihatkan pemilik-pemilik kereta yang terjejas supaya pergi terus ke Stesen Minyak IBA Sdn Bhd untuk membuat aduan atau menghubungi talian 2340069.