Oleh Sim Y. H.-
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 NOV – Tiga orang pemenang Cabutan Hadiah Utama November bagi Rewarding Journeys with Shell menerima hadiah mereka dalam majlis cabutan dan penyampaian hadiah kempen promosi Syarikat Pemasaran Brunei Shell (BSM) yang berlangsung di Bangunan PGGMB, di sini, hari ini.
Hadir bagi menyampaikan hadiah utama kepada para pemenang ialah Pengurus Pemasaran dan Jualan BSM, Haji Hairul Radzi Shahri.
Hadiah pertama berupa pakej penerbangan ke Bangkok, Thailand untuk dua orang serta wang tunai $1,000 telah dimenangi oleh Dayang Siti Nuramirah binti Haji Sabli, hadiah kedua iaitu penginapan tiga hari dua malam di The Abode Resort & Spa dimenangi oleh Norizan Haji Minin dan hadiah ketiga iaitu sebuah televisyen pintar 55 inci Skyworth telah dimenangi oleh Awangku Mohammad Safri bin Pengiran Hassan.
Haji Sabli yang mewakili anaknya Dayang Siti Nuramirah semasa acara cabutan berkenaan, menyatakan perasaan gembira kerana tidak menyangka bahawa akan memenangi hadiah pertama dalam kempen promosi itu bagi November.
Kempen yang sedang berjalan bermula 25 Ogos hingga 25 November itu memberikan ganjaran kepada pelanggan-pelanggan yang membuat pembelian minyak pelincir Shell terpilih daripada cawangan-cawangan yang mengambil bahagian bagi peluang untuk memenangi hadiah-hadiah bulanan menarik serta barangan Shell eksklusif.
BSM mengucapkan tahniah kepada semua pemenang hadiah utama November dan menggalakkan orang ramai untuk mengambil bahagian dalam promosi berkenaan dengan peluang untuk memenangi hadiah utama akhir pada Disember nanti iaitu pakej pelancongan bagi tiga orang ke Dubai, kemasukan ke Ferrari World Abu Dhabi dengan wang tunai $2,000.