BSN temui genus dan spesies kerang baharu

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 SEPT – Projek penyelidikan kolaboratif yang melibatkan ahli Borneo Studies Network (BSN) telah menemui genus baharu dan dua spesies kerang air tawar baharu di Borneo.

Sekumpulan saintis dari empat daripada 12 anggota pengasas BSN iaitu Universiti Brunei Darussalam (UBD), Universiti Malaysia Sabah, Universiti Malaysia Sarawak dan Universiti Tanjungpura, Pontianak terlibat dalam penemuan menarik berkenaan.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan UBD, projek penyelidikan kerjasama itu diketuai oleh Dr Alexander Zieritz dari University of Nottingham, yang merupakan pakar yang sudah tidak asing lagi dalam kajian kerang air tawar.

Projek melibatkan sejumlah tinjauan lapangan yang dilakukan di pelbagai kawasan di Negara Brunei Darussalam, Kalimantan, Sabah dan Sarawak. Namun, tinjauan lapangan dilakukan di sungai kecil di Gomantong, Sabah dan berhampiran Kuala Mendalam, Sarawak yang membawa kepada penemuan dua spesies baharu tersebut.

Kenyataan menjelaskan, dua spesies baharu itu diberi nama Khairuloconcha lunbawangorum (gambar) dan Khairuloconcha sahanae dengan yang pertama diberi nama sempena suku Lun Bawang di Kalimantan, manakala yang kedua diberi nama untuk menghormati mendiang Dr Sahana Harun, seorang ahli ekologi air tawar yang berdedikasi.

Kerang dinamakan Khairuloconcha sahanae ini adalah salah satu spesies kerang air tawar baharu ditemui di Borneo oleh empat saintis anggota pengasas BSN iaitu UBD, Universiti Malaysia Sabah, Universiti Malaysia Sarawak dan Universiti Tanjugpura, Pontianak. Kedua-dua spesies tersebut tergolong dalam genus Khairuloconcha, yang diberi nama sempena nama Dr Khairul Adha A Rahim, seorang ahli biologi akuatik Borneo. – Gambar serahan UBD

Kedua-dua spesies berkenaan tergolong dalam genus kerang air tawar baharu, Khairuloconcha, yang diberi nama sempena nama Dr Khairul Adha A Rahim, salah seorang ahli biologi akuatik Borneo. Melalui analisis DNA, kedua-dua spesies tersebut didapati berkait rapat dengan Ctenodesma borneensis.

Borneo menyaksikan jumlah kerang air tawar endemik yang sangat tinggi, yang bermaksud spesies ini hanya dapat dijumpai di pulau ini dan tidak di tempat lain. Dengan penambahan dua spesies itu, Borneo kini mempunyai 15 spesies endemik daripada 20 spesies yang telah direkodkan di Borneo, semuanya tergolong dalam keluarga Unionidae.

Kajian itu memberikan bukti lebih lanjut mengenai kepentingan Borneo sebagai lokasi tumpuan bagi keanekaragaman air tawar.

Di samping itu, kajian ini juga mencatatkan spesies Schepmania, di mana populasinya nampaknya menurun dalam beberapa dekad terakhir. Banyak spesies kerang air tawar lain di Borneo juga dianggap menurun dan dalam beberapa kes, mungkin sudah terhapus.

Ini mungkin disebabkan penebangan hutan secara besar-besaran di Borneo. Dua spesies kerang air tawar baharu itu sangat jarang dijumpai kerana masing-masing hanya dapat ditemui dari aliran tunggal di Borneo dengan densiti yang sangat rendah. Memandangkan situasi penemuan itu dan kemungkinan ancaman terhadap kemerosotan habitat antropogenik, kedua-dua spesies tersebut  berkemungkinan berisiko pupus.

Kajian berkenaan diterbitkan dalam jurnal Aquatic Conservation: Marine and Freshwater Ecosystems.

BSN adalah rangka kerja penyelidikan dan rangkaian kajian di Borneo, di mana UBD menjadi tuan rumah selaku pengerusi BSN dan Sekretariat BSN yang mana BSN bertujuan untuk memudahkan kerjasama di antara institusi pendidikan tinggi dan pusat penyelidikan di Borneo dalam pelbagai bidang termasuk biodiversiti.