BSP berganding bahu bantu petugas barisan hadapan

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 APRIL – Dalam semangat perpaduan bersama-sama menangani pandemik COVID-19 yang telah mengubah kehidupan di negara ini, Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP) telah mencari cara membantu petugas barisan hadapan dan masyarakat di bawah inisiatif #BSPCares.

Antara yang dilakukan BSP adalah menambah inisiatif-inisiatif yang telah dilakukan oleh pertubuhan-pertubuhan lain, menurut kenyataan yang dikeluarkan BSP.

Kenyataan menyatakan, walaupun #BSPCares adalah inisiatif yang dipimpin syarikat berkenaan, ia memberi pemerkasaan penuh kepada kakitangan untuk menyumbang ke arah melakukan kebaikan.

Pengarah Urusan BSP, Dr Ceri Powell berkata, “Kerjasama daripada kakitangan dalam usaha-usaha mereka memberikan bantuan adalah sangat mengharukan dan menunjukkan semangat kemanusiaan.

Ini benar-benar menggambarkan kekuatan semangat #BSPCares, menunjukkan fokus kami terhadap merangsang masa depan Brunei dan pada masa yang sama prihatin kepada mereka yang berjuang di barisan hadapan kini.”

LiveWIRE AgroBiz dan Sekolah Hospitaliti dan Pelancongan, IBTE telah bekerjasama untuk menyediakan makanan harian bagi petugas barisan hadapan.

Salah satu usaha besar di BSP adalah Kempen #100beds bagi Pusat Pengasingan Kebangsaan yang baharu dibina di Daerah Tutong.

BSP dalam kenyataannya menjelaskan bahawa kempen berkenaan dibuka kepada semua kakitangan, keluarga dan rakan-rakan serta menjadi peluang kepada kakitangan yang beragama Islam untuk menyertainya sebagai sebahagian daripada wakaf mereka.

Dalam tempoh 24 jam, kakitangan telah menyumbang sejumlah wang tunai yang cukup untuk membeli 110 katil, melebihi sasaran awal sebanyak 100 katil.

Di samping itu, satu usaha bersama BSP dan Syarikat Pemasaran Brunei Shell (BSM) juga telah menyaksikan sumbangan baucar bahan api bernilai $50,000 bagi kegunaan kenderaan-kenderaan dan perkhidmatan kecemasan perubatan dan kritikal di bawah Kementerian Kesihatan.

Dalam pada itu, LiveWIRE AgroBiz dan Sekolah Hospitaliti dan Pelancongan, Institusi Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) telah bekerjasama untuk menyediakan makanan harian untuk kakitangan barisan hadapan menggunakan beras tempatan bebas racun perosak daripada tuaian pertama AgroBiz.

Kenyataan menyatakan, inisiatif berkenaan adalah cara kecil untuk mengucapkan terima kasih kepada pekerja penja-gaan kesihatan atas kerja keras dan komitmen mereka dalam menangani wabak berkenaan.

Beras Sembada188 berkenaan telah dituai baru-baru ini dan merupakan hasil daripada Skim AgroBiz Padi Agropreneur oleh IBTE dan disokong oleh LiveWIRE Brunei.

Di samping menyumbang kepada kebaikan, ia juga merupakan peluang bagi para pelajar mengasah kemahiran memasak mereka, untuk menjadi lebih kreatif dan memperbaiki teknik-teknik mereka.

Pengerusi LiveWIRE Brunei, Hajah Rosita binti Haji Hassan dipetik berkata, “LiveWIRE AgroBiz berbesar hati mempunyai peluang untuk menyumbang kepada petugas barisan depan.

“Sebanyak 600kg beras daripada tuaian pertama AgroBiz di IBTE Kampus AgroTeknologi, Wasan digunakan untuk menyediakan 300 hidangan panas setiap hari. Hidangan ini disediakan oleh pelajar-pelajar IBTE di dapur pusat Sekolah Hospitaliti dan Pelancongan di Jalan Muara,” jelasnya.

Selain itu, bagi menyokong pekerja barisan depan untuk bekerja dengan selamat, BSP telah menyediakan kemudahan asas seperti panel-panel dinding, meja dan kerusi lipat, rak-rak dan tong sampah biobahaya bagi barisan depan penjagaan kesihatan di Bandar Seri Begawan dan Tutong.

Kakitangan juga menyumbang keperluan kepada hospital lain seperti Hospital Suri Seri Begawan, Kuala Belait.

Di samping pekerja barisan depan, BSP juga prihatin dengan komuniti-komuniti terdedah dengan mengunjungi rumah-rumah mereka dan menghantar barangan keperluan seperti makanan, barangan kebersihan dan penjagaan untuk membantu mereka mengharungi krisis ini.

Sukarelawan BSP juga telah berhubung dengan sekolah-sekolah untuk menyediakan pelbagai bekalan sekolah yang bertujuan untuk memudahkan peralihan kepada pembelajaran dan pengajaran dalam talian berikutan penutupan sekolah-sekolah disebabkan COVID-19.