Tuesday, March 21, 2023
23.1 C
Brunei

-

BSP buka peluang kolaborasi dengan syarikat tempatan

Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan BSP

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 FEB – Lebih daripada 20 buah syarikat IT tempatan termasuk syarikat pemula bersama-sama lebih 40 orang pelajar dari institusi pengajian tinggi tempatan seperti Universiti Brunei Darussalam (UBD) dan Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) menghadiri Acara Penglibatan Pasaran Nilai Dalam Negara (ICV) bagi Teknologi Maklumat dan Pendigitalan ke-3 yang berlangsung di Brunei Innovation Lab (BIL), hari ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Syarikat Minyak Brunei Shell (BSP) Sdn Bhd, di sini, acara itu dianjurkan oleh BSP dengan sokongan BIL, merupakan siri acara yang mengumpulkan pemimpin industri, syarikat pemula, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta pelajar untuk meneroka, berkongsi dan membincangkan mengenai peluang-peluang yang terdapat dalam IT dan pendigitalan dalam kalangan Syarikat-syarikat Brunei Shell Joint Venture (BSJV).

Matlamat utama acara adalah untuk mengenal pasti bakat-bakat berpotensi dalam industri IT tempatan, membina kolaborasi baharu dengan syarikat-syarikat IT tempatan dan mempromosikan pembangunan usahawan teknologi tempatan.

Salah satu hasil daripada penglibatan pasaran yang lalu, menyaksikan BSP menandatangani perjanjian rangka kerja IT dengan enam buah PKS tempatan sehingga hari ini.

Ketua SCM-ICV BSP, Haji Amirul Shahnoel bin Mohd Noeh dalam kata alu-aluannya berkongsi bahawa baru-baru ini, sebuah syarikat IT tempatan di bawah Perjanjian Rangka Kerja IT telah dianugerahkan sebuah projek oleh Jabatan Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar (HSE), BSP untuk membangunkan aplikasi Pemantauan Gas Rumah Hijau.

Haji Amirul Shahnoel semasa menyampaikan kata alu-aluan.
Para pengunjung semasa menghadiri acara berkenaan.
Para pengunjung semasa menghadiri acara berkenaan.

Beliau menerangkan, dengan dipermudahkan oleh BIL, syarikat tempatan itu bekerjasama dengan sebuah syarikat antarabangsa sebagai sebuah pemecut teknologi untuk meningkatkan keupayaan teknologi syarikat berkenaan.

“Sambil kita mengalu-alukan 2023, kami ingin melihat lebih banyak syarikat pemula dan PKS tempatan mengambil bahagian dalam projek-projek kami,” tambahnya.

Haji Amirul Shahnoel menambah dengan lebih daripada lima buah projek IT dikenal pasti pada 2023, terdapat peluang yang besar bagi syarikat-syarikat pemula untuk mengambil peluang berkenaan sebagai sebuah platform untuk berkembang dan membangun menjadi syarikat-syarikat IT unggul.

Turut hadir semasa acara itu ialah Pengerusi Shell LiveWIRE Brunei, Erwan Said dan Pengurus Rantaian Bekalan BSP, Mariana Omar.

Semasa acara itu, para peserta berpeluang untuk mempelajari mengenai industri minyak dan gas, proses tender dan pendaftaran syarikat BSJV serta keperluan untuk mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti perniagaan dengan Syarikat-syarikat BSJV.

Sementara itu, Darussalam Enterprise (DARe), Shell LiveWIRE Brunei dan BIL juga menyampaikan mengenai pelbagai inisiatif dan program keusahawanan seperti kelas pakar dan bootcamp yang terdapat bagi syarikat-syarikat tempatan.

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Paras oksigen kurang punca jutaan ikan mati

CANBERRA, AUSTRALIA, 19 MAC – Berjuta-juta ikan telah mati dihanyutkan di tenggara Australia dalam kematian yang menurut pihak berkuasa dan saintis berpunca daripada paras...
- Advertisment -