BSP, ISB meterai perjanjian pajakan

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 MAC – Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB) baru-baru ini telah menandatangani satu perjanjian pajakan dengan Syarikat Minyak Brunei Shell (BSP), untuk tapak baharu kampusnya di Kuala Belait.

BSP, yang mengiktiraf keperluan sebuah sekolah antarabangsa di Daerah Belait, selain objektif pelaburan sosial strategik dan tanggungjawab sosial mereka, telah memberikan ISB lesen untuk menggunakan dan memindah sekolah serta operasi mereka ke Seria.

Menandatangani bagi pihak BSP ialah Pengarah Komersial dan Korporat, Hajah Farida binti Dato Seri Paduka Haji Talib, sementara ISB diwakili oleh Pengerusi Lembaga Pengarah ISB, Awang Ahmad bin Isa.

Turut hadir sebagai saksi dalam majlis penandatanganan tersebut ialah Pengurus Kemudahan Bersepadu, Mazlina Maawiah dari BSP, Pengarah Roy Kurian daripada Lembaga Pengarah ISB dan Pengetua Eksekutif ISB, Laura Thomas.

Ketua Sekolah Rendah ISB Seria, Yynda Thomas berkata “ISB adalah amat positif dengan perkembangan masa depan Sekolah Seria. Komuniti menyokong sepenuhnya tindakan tersebut, kemudahan yang dipertingkatkan serta pembangunan program luar kurikulum terbaharu kami. Kami berterima kasih atas sokongan berterusan daripada BSP.”

Kampus baharu itu terletak di F19, Simpang 35-1, Seria. Semua pelajar dari sekolah Kuala Belait akan berpindah ke kampus baharu pada 30 Mac 2020, yang merupakan permulaan penggal ketiga sekolah berkenaan.

Hajah Farida dan Awang Ahmad menandatangani perjanjian pajakan pada majlis tersebut.