BSP rai usia Champion ke-50

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 MAC – Sempena memperingati ulang tahun ke-50 telaga minyak Champion, Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP) telah mengadakan majlis Doa Kesyukuran di Masjid Ash-Shaliheen, di sini, kelmarin.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan BSP, majlis berkenaan sebagai pembuka sambutan jubli emas pengeluaran pertama medan minyak Champion.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis itu ialah Timbalan Menteri Tenaga, Dato Seri Paduka Haji Matsatejo bin Sokiaw.

Majlis dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah diikuti dengan solat sunat Hajat, bacaan Surah Yasin, tahlil dan Doa Arwah.

Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Kesyukuran oleh Imam Masjid Ash-Shaliheen, Haji Mohammad Izzat Izzuddin bin Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Emran sebelum solat Isyak berjemaah.

Dato Seri Paduka Haji Matsatejo hadir selaku tetamu kehormat pada majlis keagamaan berkenaan. – Gambar oleh Adib Noor

Pada majlis itu, BSP turut menyampaikan wakaf amal sukarela dalam bentuk buku Yasin kepada masjid berkenaan.

Wakaf tersebut disampaikan oleh Timbalan Pengarah Urusan dan Pengarah Komer-sial BSP, Haji Mohd Azmi bin Haji Mohd Hanifah kepada tetamu kehormat majlis yang seterusnya menyerahkannya kepada Haji Mohammad Izzat Izzuddin.

Kenyataan menyatakan, acara berkenaan diadakan untuk melafazkan kesyukuran atas segala nikmat dan pencapaian Champion sepanjang 50 tahun yang lalu dan berdoa agar Allah SWT sentiasa memberkati dan melindungi kesejahteraan Brunei Darussalam serta agar BSP dan Champion terus menyumbang ke arah pembangunan sosial dan ekonomi negara.

Menurut BSP, Champion ditemui pada 1970 dan mula mengeluarkan minyak dan gas pada 1972, sejak itu menjadi salah satu penyumbang utama minyak dan gas untuk BSP.

Sebagai salah satu telaga minyak terbesar dan salah satu aset pengeluar tertua, Champion memainkan peranan penting dalam memastikan BSP terus menyalurkan bekalan tenaga tanpa gangguan kepada negara.

Setelah 50 tahun berlalu, Champion masih lagi menghasilkan secara selamat dan bertanggungjawab, menyokong BSP sebagai pembekal tenaga untuk Brunei dan akan terus berbuat demikian dalam dekad yang akan datang.

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Menteri Pembangunan, Dato Seri Paduka Ar Haji Marzuke bin Haji Mohsin selaku pengerusi Pihak Berkuasa Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kebangsaan (SHENA), Pemangku Setiausaha Tetap di Kementerian Tenaga dan Pemangku Pengarah Urusan Sementara Pihak Berkuasa Petroleum Brunei Darussalam, Pengiran Haji Jamra Weira bin Pengiran Haji Petra, ahli Lembaga Pengarah BSP, pengarah urusan Syarikat Brunei Shell Joint Venture (BSJV), pasukan kepimpinan dan kakitangan BSP.