Oleh Mohamad Asyramisyanie
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Julai – Pasukan DSP United membenam harapan Tunas FC untuk pulang dengan tiga mata apabila berjaya memenangi perlawanan berkenaan dengan jaringan 4–1 dalam aksi Liga Perdana Brunei DST 2017, yang berlangsung Kompleks Sukan Sungai Kebun kelmarin.
Manakala hujung minggu lalu pula menyaksikan Pasukan Tabuan Muda ‘B’ menggigit jari apabila terpaksa akur dengan kekalahan 5–1 di tangan BSRC FT, di Kelab Rekreasi Brunei Shell.
Pasukan BSRC FT muncul gah di tempat sendiri apabila menyaksikan jaringan dibuat oleh Nurhazwan Khan bin Asmah Khan (minit 24 dan 44) dan dilengkapi dengan hatrik Mohd Hartis bin Haji Mahari (minit 45+5, 63 dan 77), manakala jaringan tunggal Tabuan Muda ‘B’ dijaringkan oleh Mohammad Hanif Aiman bin Haji Adanan.
Pada Jumaat lalu, Pasukan Rimba Star muncul pemenang ke atas Pasukan Panchor Murai FC dengan jaringan 4–2 di Kompleks Padang dan Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah di sini.

Antara penjaring bagi pasukan Rimba Star adalah Mohd Esmady Brahim, Mohd Adi Darwisy Awang Rustam, Mohd Qamaruluuddin Abd Rahim dan Shandy Khairuddinsyah Kaharuddin, manakala jaringan Panchor Murai disumbangkan oleh Awangku Army Mazhisham Pengiran Haji Muhammad, Ahmad Asyraf Mohd Saudian.
Sementara itu Pasukan Jerudong FC pula pulang kecewa apabila empat jaringan pemain Najip I Team melalui Faizal, Ammar Nikman, Abang Norhilman dan Mohd Mudzaffar menggegarkan gawang Jerudong FC.
Keesokannya pula menyaksikan Pasukan Setia Perdana mengikat Pasukan IKLS FC dengan jaringan 2–2 di Kompleks Sukan Sungai Kebun dan Haji Rahimi Haji Pundut tampil wira untuk menghalang kemenangan IKLS pada minit ke-63.
Pada hari yang sama Pasukan Kasuka dan Majlis Sukan Polis Diraja Brunei berkongsi satu mata apabila kedua pasukan terikat 2–2.