Tuesday, April 16, 2024
29.5 C
Brunei

    -

    BTHMUI rai kakitangan berjasa

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 JAN – Badan Tanmiah Harta Majlis Ugama Islam (BTHMUI), hari ini, telah mengadakan majlis penghargaan perkhidmatan bagi meraikan mantan ahli dan pengerusi lembaga pengarah serta enam orang pegawai dan kakitangan yang telah lama berkhidmat.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis yang berlangsung di Bilik As-Salam, Dewan An-Naura, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) itu ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman selaku Yang Di-Pertua Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB).

    Pada majlis itu, Yang Berhormat Pehin menyampaikan cenderahati kenangan dan sijil penghargaan kepada mantan ahli Lembaga Pengarah BTHMUI iaitu Ketua Hakim Syarie, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Awang Besar, dan mantan Pengerusi Lembaga Pengarah, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar.

    Manakala itu, lima kakitangan BTHMUI dan seorang kakitangan Stesen Minyak dan Perniagaan Badan Tanmiah (BTPS) diraikan pada majlis itu setelah berkhidmat selama 25, 20, 15 dan 10 tahun.

    Dalam ucapannya pada maj-lis itu, Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama merakamkan kenangannya bersama Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom yang berkhidmat sebagai pengerusi dari Januari 2018 hingga Jun 2022 dan Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim selaku ahli lembaga pengarah dari Ogos 2020 hingga Ogos 2022.

    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama menyampaikan sijil penghargaan kepada mantan Pengerusi Lembaga Pengarah BTHMUI pada majlis tersebut.
    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang penerima pada majlis yang berlangsung di Bilik As-Salam, Dewan An-Naura, Kompleks Yayasan, kelmarin.
    Gambar ramai tetamu kehormat bersama mereka yang hadir pada majlis berkenaan.

    Beliau berkata, kedua-dua mantan berkenaan bukan sahaja telah berkhidmat bakti bahkan berjasa dalam kelangsungan Badan Tanmiah selaku entiti usaha niaga MUIB, kelangsungannya untuk terus berkembang.

    “Mudah-mudahan khidmat dan jasa bakti Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom melalui tanggungjawab dan amanah selaku mantan pengerusi lembaga pengarah yang dilaksanakan dengan sentiasa teliti dan berhati-hati akan menjadi amal soleh yang diganjari Allah setimpal yang terbaik,” ujarnya.

    Bagi Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Salim pula, Yang Berhormat Pehin berkata, khidmat jasa bakti beliau tidak sahaja pada ukuran tempohnya yang lama bahkan pada sumbangan buah fikiran bernas yang biasa dikemukakan dalam sesetengah isu tidak sahaja hukum-hakamnya bahkan yang utama adalah mencari jalan huraian dan penyelesaiannya secara bijaksana.

    Menyentuh mengenai BTHMUI, Yang Berhormat Pehin berkata, setelah beroperasi lebih kurang 28 tahun, pencapaiannya sekarang dapat dilihat dan diukur dalam bidang-bidang hartanah, stesen minyak dan perniagaan yang diceburi setakat ini.

    Manakala itu, Pengarah BTHMUI, Haji Noor Hadi bin Haji Noor Kaseh dalam ucapannya pula berkata, dengan usia badan itu menghampiri tiga dekad, portfolio pelaburan hartanah telah meningkat kepada 19 lokasi yang termasuk beberapa buah bangunan perumahan, bangunan pejabat, bangunan perniagaan, bangunan sekolah dan anak syarikat stesen minyak.

    “Insya-Allah, jumlah ini akan terus bertambah apabila dua buah projek perumahan iaitu perumahan Badan Tanmiah di Kampung Kiulap dan Kampung Tanah Jambu dijangka siap pada 2024.

    “Kesemua ini dapat dicapai dengan adanya perancangan yang rapi dan teratur serta kedudukan kewangan yang stabil, dan dengan sokongan padu yang berterusan daripada pihak MUIB dan Lembaga Pengarah BTHMUI,” ujar beliau.

    Selain daripada itu, menurutnya lagi, BTHMUI dan BTPS adalah majikan kepada seramai 32 orang anak tempatan dan tenaga kerja yang pakar dalam bidang dan kemahiran jurusan pentadbiran, pengurusan, kewangan, pelaburan, perakaunan serta teknikal.

    BTHMUI juga telah memberikan penempatan-penempatan penuntut dari institusi-institusi pengajian tertinggi di negara ini untuk menimba ilmu pengetahuan di alam pekerjaan dalam bidang masing-masing yang ditempatkan dalam seksyen-seksyen yang berkaitan.

    BTHMUI juga membuka peluang kepada graduan-graduan untuk bekerja secara kontrak melalui program i-Ready.

    Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan selaku Pengerusi Lembaga Pengarah BTHMUI, ahli-ahli Lembaga Pengarah BTHMUI, setiausaha dan timbalan setiausaha MUIB, para pegawai dan kakitangan BTHMUI dan anak syarikatnya, BTPS.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Bot karam di Kashmir India bunuh sekurang-kurangnya 4 orang

    SRINAGAR, 16 APRIL - Sebuah bot yang membawa sekumpulan orang terbalik di sungai di Kashmir yang dikuasai India pada hari ini, menenggelamkan empat daripada...