BTS cipta rekod dunia

Konsert dalam talian terbaharu superstar K-pop BTS mencipta rekod dunia Guinness untuk jumlah tontonan paling ramai, lapor agensi berita Yonhap.

“BTS meraih gelaran rekod dunia Guinness baharu bagi jumlah penonton untuk penstriman langsung konsert muzik,” kata laman web Guinness World Records pada Khamis lalu.

“Seramai 756,000 peminat daripada lebih 100 negara mengikuti persembahan dalam talian itu pada 14 Jun.”

“Bang Bang Con: The Live” disiarkan secara penstriman langsung sekitar 100 minit dari sebuah studio di Seoul bulan lalu. Kumpulan terdiri tujuh anggota itu membatalkan jadual jelajah dunianya untuk tahun ini disebabkan pandemik COVID-19.

Menurut agensi kumpulan tersebut, Bit Hit Entertainment, ia adalah acara muzik dalam talian berbayar terbesar di dunia dari segi jumlah penonton. Jumlah penonton dalam talian mencecah kira-kira gabungan 15 konsert stadium, tambahnya.

BTS memegang beberapa gelaran rekod dunia Guinness, termasuk artis K-pop pertama menduduki tangga teratas carta album Amerika Syarikat.

Sebelum ini, video BTS, Blood Sweat & Tears menarik lebih 600 juta tontonan di YouTube, menjadikan ia video ketujuh yang mencecah tahap itu.

Blood Sweat & Tears iaitu lagu yang terkandung dalam album penuh kedua kumpulan berkenaan, Wings, mencapai angka itu di YouTube pada jam 5 pagi Jumaat.

Ia menjadi video muzik ketujuh BTS yang mendapat jumlah tontonan popular di laman penstriman video dunia, menjejaki DNA, Boy With Luv, Fake Love, Fire dan dua lagu lain. – Agensi

BTS mencipta rekod dunia Guinness untuk jumlah tontonan paling ramai untuk penstriman langsung konsert muzik, Bang Bang Con: The Live. – Agensi