BTS lakar sejarah

BTS menjadi artis Korea Selatan pertama yang menduduki tangga pertama di carta lagu utama Billboard Amerika Syarikat pada Isnin, lapor agensi berita Yonhap.

“BTS meraih No. 1 pertama di carta lagu Billboard Hot 100, menerusi kemunculan memuncak ‘Dynamite’,” lapor Billboard pada Isnin, sehari sebelum carta tersebut dikemas kini.

Sebelum ini, artis Korea Selatan yang menduduki carta tertinggi di Hot 100 (100 Terhebat) adalah artis solo PSY menerusi hit viral  2012 Gangnam Style, yang memuncak ke tangga kedua.

Satu-satunya artis Asia yang mencapai tangga Hot 100  pada masa lalu adalah penyanyi Jepun Kyu Sakamoto dengan Sukiyaki pada 1963.

BTS telah menduduki tangga teratas album utama Billboard, Billboard 200, empat kali sejak Mei 2018, bermula dengan Love Yourself: Tear dan diikuti berturut-turut dengan – Love Yourself: Answer, Map of the Soul: Persona dan Map of the Soul: 7.

BTS melakar sejarah baharu apabila meraih kedudukan pertama di carta lagu Billboard Hot 100, menerusi kemunculan memuncak ‘Dynamite’. – Agensi

Tetapi di carta Hot 100, kumpulan tersebut berjaya naik ke tangga keempat dengan ‘ON’, trek utama dari  album “7” yang dikeluarkan pada Februari. ‘Boy With Luv,’ menampilkan penyanyi Amerika, Halsey, naik di tangga ke lapan pada April 2019.

Dengan 265,000 muat turun terjual (di antara keseluruhan 300,000 minggu pertama, termasuk versi fizikal cakera vinil dan kaset), ‘Dynamite’ muncul dengan jualan digital mingguan terbesar sejak 16 September 2017, ketika ‘Look What You Made Me Do’ karya Taylor Swift dilancarkan dengan 353,000,” lapor Billboard.

BTS meraikan kejayaan itu melalui media sosial di Korea Selatan, pada awal Selasa ketika berita itu disiarkan. Ia juga merupakan ulang tahun kelahiran anggota termuda BTS, Jungkook.

“Tahniah rakan-rakan di atas kejayaan Billboard No. 1, saya gembira kerana anda semua,” tulis J-Hope BTS di akaun Twitter rasmi kumpulan itu.

J-Hope menambah, “Dan ARMY! Anda tahu bahawa kami sangat menyayangi dan mengucapkan terima kasih kepada anda semua. Anda juga patut mendapat ucapan tahniah,” merujuk kepada pangkalan peminat global kumpulan ini yang disebut sebagai ARMY.

Kejayaan itu muncul ketika BTS merangkul empat anugerah di MTV Video Music Awards (VMA) – Pop Terbaik, Kumpulan Terbaik, Koreografi Terbaik dan K-pop Terbaik – pada Ahad untuk ‘ON’.

Menerusi ‘ON’, BTS menjadi artis Asia pertama yang memenangi Pop Terbaik di VMA, bersaing dengan beberapa persembahan hebat lain, termasuk Jonas Brothers, Justin Bieber, Lady Gaga, Ariana Grande dan Taylor Swift.

Reaksi global terhadap ‘Dynamite’ sangat hebat sejak kemunculannya, dengan video muzik di YouTube menarik lebih daripada tiga juta penonton serentak pada tayangan perdana dan mengumpulkan 101.1 juta tontonan dalam 24 jam pertama, menjadikannya kemunculan video muzik terbesar di platform berkenaan sehingga kini.

Menerusi penstriman pula, kumpulan ini turut melakar sejarah, menjadi artis K-pop pertama yang muncul di carta  pertama pada indeks Spotify Global Top 50. BTS bukan sahaja menjadi artis K-pop pertama yang berjaya menduduki tangga teratas Spotify, tetapi juga menjadi kemunculan lagu Spotify terbesar tahun ini. – Bernama