Oleh C-Beck
DENGAN bertemankan anak patung Mickey Mouse dan suasana bilik yang dilengkapi dengan alat berhawa dingin membuatkan Rini tidak mahu berganjak dari tempat tidurnya.
“Arini! Arini! Dah lewat ni, kau tak nak angkat Kak Eton ke?” kata emak Arini. Terdengar saja suasa emaknya, Rini bergegas bangun dari tidurnya. Dia sepatutnya sudah berada di lapangan terbang pada masa itu, tapi jam sudah menunjukkan pukul 11:30 pagi. Biasanya hari minggu begitu, tentu sahaja dia melayan matanya dan tidur sepuas-puasnya. Dia bekerja di sebuah syarikat swasta dan cuma hari minggu itu sahajalah hari untuk dia berehat.
Rini, yang memandu kereta jenis Mitsubishi Lancer model terbaru itu, terus sahaja memecut keretanya sambil matanya liar melihat pemandu-pemandu yang lain kalau-kalau kereta yang dicarinya selama ini muncul lagi.
Si-Honda Accord, itulah gelaran yang diberikan oleh Arini, walaupun dua bulan yang lepas dan hanya tiga kali sahaja dia terserempak tetapi sampai kini, belum lagi dia tahu nama sebenar si pemandu Honda Accord itu.
Sampai sahaja di lapangan terbang, dari jauh lagi dia nampak muka Kak Etonnya marah kerana kelewatannya itu. “Sorrylah Kak Eton, Rini lewat bangun tadi, ingatkan tak ada kerja hari minggu macam ni,” terang Rini. Tapi kakaknya masih tarik muka masam, sengaja tidak mahu mendengar.
Rini faham perasaan kakaknya, kalaulah dia di dalam situasi begitu tentu dia juga merasa demikian. Tapi Rini biarkan sahaja kakaknya melayan perasaannya sendiri. Semasa dia melalui jalan di pusing keliling, tiba-tiba Rini ternampak kereta Honda Accord itu lagi. Hatinya mula cemas dan bercampur gembira sekali.
“Hai, Si-Honda Accord, baru sekarang kau muncul, siapakah gerangannya kau setelah sekian lama menghilang, tapi tak mengapa, terubatlah rinduku selama ini,” bisik hati kecil Arini.
Pemuda yang memandu kereta Honda Accord itu sengaja menoleh ke arah Rini sambil menghadiahkan senyuman, membuatkan hati Rini terlalu gembira sambil membalas senyuman Si Honda Accord.
Selepas kejadian itu. Rini sibuk bercerita tentang kisahnya itu kepada kawan sepejabatnya iaitu Emma. Emmalah tempat dia mengadu dan berkongsi pendapat jikalau ada masalah. Hinggakan pada suatu hari, semasa mereka keluar untuk makan tengah hari, mana-mana jenis kereta Honda Accord, pasti mereka panik manalah tahu kalau-kalau mereka terserempak secara tiba-tiba.
Kadang-kadang mereka akan ketawa geli hati apabila merasakan yang perbuatan mereka itu hanya sia-sia sahaja. Tapi, Rini tak pernah putus asa, baginya selagi dia belum mengenali si-pemuda Honda Accord itu, hatinya belum terbuka lagi untuk menerima sebarang lelaki dalam hidupnya. Baginya Si-Honda Accord itulah, lelaki yang istimewa dan teratas sekali.
Dia sendiri pun tidak faham kenapa dia berharap sangat dengan Si-Honda Accord itu, sedangkan mereka belum mengenali antara satu sama lain, apalagi bertanyakan nama. Dia sangat berharap, mungkin satu hari nanti pasti dia akan mendapatkannya juga. Itulah harapan Rini.
Sudah tiga minggu berlalu, Rini masih belum terlihat kelibat Si-Honda Accord itu lagi. Ini membuatkan Rini tidak ada semangat untuk bekerja. “Sudahlah Rini, janganlah berangan sangat, simpanlah perasaan kau itu untuk orang lain, ni tidak kau tu macam menanti buah yang tak mungkin akan gugur,” kata Emma setelah melihat kawannya itu muram berpanjangan.
Jangankan bergurau, senyum pun macam orang kena paksa. “Entahlah Emma, aku pun tak tau, rindu pula rasanya, bila lama tak nampak bayang keretanya,” akhirnya Rini bersuara juga. “Eh, eh rindu keretanya atau orangnya,” ejek Emma lagi.
“Emma, kau boleh tolong tilikkan aku tak? Apa pendapat kau tentang Si-Honda Accord tu, adakah dia sudah berpunya ataupun belum?” soal Rini lagi. “Ewah-ewah, kau ingat aku ni ahli tukang tilik ke Cik adik oi? Hello, excuse me, oklah Rini untuk tidak menghampakan perasaan kau tu, bagi pendapat akulah mungkin juga dia milik orang, kalau tidak masakan begini lama dia tak muncul-muncul, mungkin dia tak mau kau nampak dia dengan buah hatinya…
“…maklumlah kalau ada partner tu, sebijik macam belangkas tak mau berengang,” kata Emma lagi dengan panjang lebar. Mendengar kata-kata Emma itu, hati Rini mula tak sedap dan mula mengesyaki seribu satu macam persoalan. Mungkin ada betulnya juga kata Emma itu.
Mulai saat itu, dia mencuba sedaya upaya untuk melupakannya tapi tidak berhasil, semakin dijauhinya, semakin kerap pula bayang-bayang Si-Honda Accord itu menjelma. Hatinya mula tidak tenteram, sehinggalah pada suatu hari, semasa dalam perjalanan pergi kerja, Si-Honda Accord muncul lagi pada jarak enam buah kereta dari depan Rini, dia mencuba untuk mengekori dan menghampirinya.
Hati Rini bukan main gembira lagi dan berharap kali ini dia tidak terlepas. Tapi malang, Si-Honda Accord sudah berada jauh daripadanya, mungkin dia tidak perasan dan nampak akan kereta Rini yang berada di belakangnya.
“Oh bodoh! dasar! rupanya dia berjalan terus. Tak apa, suatu hari nanti pasti dapat,” kata Rini sambil membelok ke kanan untuk masuk ke sebuah jalan menuju ke tempat kerjanya. Hatinya hampa lagi.
Sudah enam bulan berlalu, masa berjalan terlalu pantas sekali. Rini sudah pun dapat melupakan Si-Honda Accord itu secara perlahan-lahan. Itu pun hanya kerana dia sentiasa sibuk dengan urusan kerjanya. Hatinya sudah tawar untuk Si-Honda Accord. Dan akhirnya dia terpaksa akur juga, baginya Si-Honda Accord itu bukanlah miliknya, tapi milik orang lain walaupun tidak berapa pasti tentangnya.
“Ini yang membuat aku malas ni, nasib baik kereta ni auto, kalau tidak amatlah tidur di jalan agaknya,” rungut Rini apabila dia terperangkap dengan kesesakan jalan raya. Selalunya jalan yang dilaluinya tidak selalu begitu. Sebuah kemalangan telah pun berlaku yang hanya beberapa kilometer dari depannya. Semakin hampir, semakin jelas kelihatan tempat kejadian itu.
Alangkah terkejutnya Rini bila mendapati sebuah kereta jenis Honda Accord telah pun berlanggar dengan sebuah lori. Keadaan lori itu tidaklah berapa teruk, berbanding dengan Honda Accord yang remuk habis.
Melihat suasana begitu, hati Rini mula berdebar dan dia teringin sekali melihat secara dekat untuk memastikan sama ada kereta itu adalah kereta yang dicarinya selama ini. Rini turun untuk melihat kejadian itu dan sempat bertanya kepada orang-orang yang berada di situ.
“Bagaimana keadaan pemandunya Pak Haji?” soal Rini kepada seorang lelaki yang dijangka berusia lima puluhan. “Orangnya telah mati semasa pihak penyelamat dan bomba mengeluarkan dari dalam kereta, apa awak kenalkah orangnya?” soal Pak Haji itu pula.
Setelah mendengar penjelasan dari Pak Haji itu, hatinya bagai hancur seperti serpihan kaca yang bertaburan di jalan raya itu. Dia melangkah longlai meninggalkan tempat itu sambil menganggukkan kepalanya kepada Pak Haji. Air matanya keluar setitik demi setitik tanpa menghiraukan orang sekelilingnya. Terasa ingin menjerit hatinya ketika itu. tetapi semuanya telah berlaku dan ditakdirkan.
“Rupanya ada yang lebih menyayanginya daripada aku,” bisik hati Rini lagi.
Rini, yang dulunya gadis periang dan suka ketawa, kini menjadi seorang yang pendiam. Baginya segala-galanya sudah berakhir. Harapannya untuk memiliki Si-Honda Accord telah hancur musnah. Kalaulah boleh muncul Si-Honda Accord itu buat kali kedua, pasti Rini tidak mahu melepaskannya.
“Rini! Ada seorang lelaki di luar, dia bertanyakan kau!” jerit Emma dari luar biliknya. Rini terkejut dari lamunannya. Segera dia keluar untuk melihat siapa lelaki itu.
“Mana dia Emma? Kenapa dia tak masuk?” tanya Rini. “Dia ada di luar, you know what Rini, he’s so handsome, kalau ada apa-apa, please introduce to us,” gurau Emma lagi. Rini lalu pergi meninggalkan Emma yang masih tersengih-sengih. Tiba-tiba jantungnya berdegup kencang apabila mendapati seorang lelaki tercegat di depannya. Dia seperti mengenali lelaki tersebut tapi baginya tidak mungkin.
“Assalamualaikum Arini? Saya Hamizul, I know it’s so surprise. Rini, selama ini aku telah mencarimu di mana-mana, hampir berputus asa, sehinggalah aku menemui kereta kau di sini. Oh Yah, mungkin kau tertanya-tanya dari mana aku dapat nama kau. Sebenarnya Ham bertanyakan kepada seorang daripada kawan Rini tadi.
“Rini, please katakanlah sesuatu yang boleh mengubati rinduku selama ini. Aku tak mampu mengawal perasaanku lagi,” terang seorang pemuda yang mengenalkan dirinya sebagai Hamizul.
Rini yang dari tadi cuma diam membisu hampir-hampir tidak percaya dengan apa yang dikatakan pemuda itu. “Tapi, Si-Honda Accordku dah lama kembali ke panggilan Ilahi, tak mungkin kau… kata-kata Rini terputus begitu sahaja kerana Hamizul telah memotong percakapannya.
“Rini, percayalah yang mati dalam kemalangan tempoh hari bukan Ham, tapi kawan Ham yang pinjam kereta Ham,” jelas Hamizul lagi.
Sekali lagi, Rini bagai tidak percaya dan sukar untuknya menerima semua itu. tetapi, buah hatinya Si-Honda Accord kini sudah berada di hadapan matanya sendiri.