Buah kedondong tertera kalimah Allah

BANDAR SERI BEGAWAN, 2010 – Pelbagai dalil Allah Taala tunjukkan kepada umat manusia akan kebesaran dan kewujudanNya khususnya dengan penciptaan alam ini serta isi di dalamnya seperti juga dengan terteranya dua kalimah ‘Allah’ di atas sebiji buah kedondong di Kampung Kilanas.

Yang menarik perhatian pemilik buah berkenaan, ketika melihat buah kedondong itu pada awalnya bukanlah kalimat suci berkenaan tetapi bentuknya yang pelik jika dibandingkan dengan bentuk buah kedondong yang lain yang kesemuanya berbentuk serupa bulat bujur.

Ketika membelek-belek buah kedondong berbentuk ganjil berkenaan barulah beliau perasan akan kalimah Allah yang tertulis di atas kulit hijau buah berkenaan, dan lebih mengejutkan lagi, kalimat berkenaan tertera di dua sudut berbeza buah yang sama.

Adik pemilik menceritakan kepada Media Permata bahawa abangnya telah menemui buah ganjil berkenaan setelah menjolok sepohon pokok kedondong berusia lebih 20 tahun kepunyaan ayahnya di belakang rumah mereka pada pukul 10 pagi.

Setelah menjolok, pemilik bersama seorang anaknya pun mengutip buah-buah kedondong yang berselerakan di atas tanah bawah pokok itu sehinggalah beliau terlihat dan mengutip buah kedondong yang berbeza bentuknya iaitu tidak bujur seperti kebiasaannya bentuk buah kedondong.

Ketika membelek-belek buah itu, beliau mendapati di atas kulit buah yang berwarna hijau itu tertulis kalimah ‘Allah’ dalam tulisan jawi di dua sudut berasingan, lantas membawa-nya balik ke rumah untuk diperlihatkan kepada ahli keluarga-nya yang lain.

Menurutnya, terpulang kepada orang ramai untuk mentafsir penemuan ‘ajaib’ berkenaan kerana mereka yakin ia adalah tulisan kalimah yang Maha Suci, ‘Allah’ sebagai petunjuk bagi mempertingkatkan iman hamba-hambaNya yang telah beriman kepada-Nya dan sebagai tanda peringatan kepada mereka yang masih mempertikaikan akan kewujudanNya.