Wednesday, April 24, 2024
24.3 C
Brunei

    -

    Buah kering jadi gubahan hantaran, cenderahati

    Gambar Bernama

    SHAH ALAM – Kebiasaannya gubahan hantaran diperbuat daripada bunga segar atau buah-buahan untuk diletakkan di atas dulang pada hari perkahwinan atau cenderahati dalam majlis korporat.

    Namun, Norzianah Mohd Jani, 48, tampil dengan idea tersendiri apabila menggunakan lebih 10 jenis buah-buahan kering dan kekacang seperti kurma, aprikot, mangga, nanas dan buah tin lain untuk dijadikan gubahan di dalam bakul atau pinggan.

    Beliau berkata pada asalnya idea tersebut hanya untuk melariskan jualan buah-buahan kering di kiosnya kerana stok tersebut sukar dihabiskan dalam tempoh lama.

    “Pada 2010, saya mendapat idea untuk menjadikan buah-buahan kering sebagai gubahan dalam pinggan dan sejak itu permintaan gubahan tersebut semakin meningkat.

    “Kami turut menaik taraf gubahan tersebut kepada pelbagai jenis dan bentuk mengikut permintaan pelanggan. Saya tidak sangka pula makanan (buah-buahan kering dan kekacang) yang kami jual boleh dijadikan sebagai gubahan hantaran,” katanya kepada Bernama di kiosnya ‘Rimbun Serai’ di SACC Mall Shah Alam, baru-baru ini.

    Norzianah turut memaklumkan gubahan tersebut bukan sahaja cantik kerana gabungan daripada pelbagai jenis buah kering berwarna-warni, malah tahan lebih lama iaitu hingga enam bulan berbanding gubahan menggunakan bunga atau buah segar.

    Beliau berkata bagi memastikan kesegaran gubahan, setiap kepingan buah kering itu dibalut dengan plastik sebelum disusun dalam bentuk yang pelanggan inginkan.
    Menurut Norzianah, setakat ini pihaknya menerima hingga 60 tempahan setiap bulan untuk pelbagai jenis acara seperti majlis perkahwinan dan program korporat.

    “Kami tetapkan kepada pelanggan supaya mereka perlu membuat tempahan dalam tempoh dua minggu sebelum acara yang akan dihadiri mereka.

    “Satu gubahan biasanya memerlukan tiga hingga empat orang pekerja dan mengambil masa sejam hingga dua jam untuk disiapkan,” katanya yang berniaga sejak 2008.

    Norzianah berkata harga yang ditawarkan untuk gubahannya bermula daripada RM60 hingga RM1,000 bergantung kepada jenis gubahan yang pelanggan mahukan.

    “Pelanggan bagaimanapun boleh menempah gubahan mengikut kesesuaian bajet dan cita rasa mereka sendiri. Kita akan cuba mewarnai bakul tersebut, kalau boleh semua buah-buahan kering ada,” katanya. – Bernama

    Pemilik Rimbun Serai, Norzinah Mohd Jani sibuk mengubah halwa kering untuk dijadikan bunga ros ketika ditemui di SACC Mall.
    Gubahan yang sudah siap dengan harga bermula RM60 sehingga RM1,000 bergantung pada jenis gubahan yang dikehendaki pelanggan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Badak air betina disangka jantan

    TOKYO, 23 APRIL - Terperdaya oleh DNA dan tabiat tandas yang pelik, seekor badak air di Jepun yang disangka jantan selama tujuh tahun sebenarnya...