HANOI – Jabatan Kastam Vietnam telah mengeluarkan kenyataan bahawa buah naga merupakan hasil pertanian yang berjaya dieksport dalam jumlah yang banyak iaitu mencapai pada kadar 32 peratus daripada jumlah nilai eksport sayur-sayuran dan buah-buahan Vietnam.
Kadar eksport itu juga dikatakan bernilai AS$427 juta yang diperolehi hanya dalam tempoh empat bulan pertama pada tahun ini.
Jumlah tersebut juga jelas memperlihatkan peningkatan sebanyak 9 peratus berbanding pada tahun lalu.
Nilai eksport buah naga adalah hampir empat kali lebih tinggi berbanding eksport dua jenis buah-buahan lain iaitu longan sebanyak AS$121 juta dan mangga sebanyak AS$104 juta.
Malah jumlah eksport buah naga juga berjaya mengatasi eksport sayur-sayuran yang bernilai AS$143.8 juta dan produk yang diproses iaitu AS$143.6 juta.

Hakikatnya, harga buah naga yang dipasarkan itu juga berbeza mengikut jenisnya.
Harga buah naga putih adalah bernilai VND 20,000 sekilo dan VND 40,000 sekilo bagi buah naga merah.
Selain di Binh Thuan yang dikenali sebagai bandar buah naga, buah tersebut juga ditanam secara meluas di kebanyakan wilayah di selatan Vietnam seperti Long An dan Tien Giang.
Sementara itu, nilai eksport buah mangga juga dikatakan meningkat sebanyak dua kali ganda dalam tempoh empat bulan terawal pada tahun ini berbanding pada waktu yang sama tahun lalu iaitu mencapai AS$104 juta, yang memperlihatkan peningkatan dari 5 peratus kepada 8 peratus. Kebanyakan buah mangga tersebut dieksport ke China, Republik Korea, Australia dan Jepun.
Nilai eksport buah mangga ke pasaran China sahaja telah mencecah nilai AS$95 juta.
Menurut statistik dari Jabatan Pemprosesan dan Pasaran Produk Pertanian (DFPPM) di bawah Kementerian Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar, eksport buah dan sayuran di antara Januari hingga Mei mencapai pada nilai AS$1.62 bilion di mana ia jelas memperlihatkan peningkatan sebanyak 16.4 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu.
China juga kekal menjadi pengimport utama bagi sayur-sayuran dan buah-buahan yang dihasilkan dari pasaran Vietnam.
Dalam tempoh lima bulan pertama pada tahun 2018, jumlah nilai import dari Vietnam telah mencapai sebanyak AS$575 juta di mana ia jelas memperlihatkan peningkatan tahunan sebanyak 15.3 peratus.
Bagi mengekalkan pertumbuhan eksport sayur-sayuran dan buah-buahan serta bagi mengelakkan penurunan nilai, DFPPM menjelaskan industri buah-buahan dan sayuran di Vietnam harus mengekalkan kawalan ke atas kuarantin, kebersihan makan dan keselamatan terutama dalam mengambil kira terhadap kesan semburan racun serangga.
Di samping memeriksa dan mempercepatkan pemprosesan kilang pada setiap tahun, DFPPM juga menekankan tugas penyelarasan kawasan dan menumpukan perhatian untuk mengukuhkan sektor bahan mentah untuk memastikan kualiti khususnya bagi meningkatkan jumlah pengeluaran dan pemprosesan barangan eksport. – Viet Nam News/ANN

































