BANDAR SERI BEGAWAN, 2001 – Keanehan tidak semestinya menjadi ciri mutlak kehidupan manusia, bahkan boleh berlaku kepada makhluk ciptaan Tuhan yang hidup di muka bumi ini.
Laporan mengenai kejadian aneh sama ada ke atas manusia, binatang dan tumbuhan di negara ini sering menghiasi halaman akhbar dan tidak kurang juga ada yang gemar mengaitkannya dengan petanda yang di luar jangkauan fikiran normal dan pengaruh kuasa ghaib.
Namun, keanehan salah sebatang pokok pisang milik penduduk di Kampung Jangsak bukan akibat pengaruh kuasa halus atau sebagai suatu petanda, tetapi secara kelainan yang jarang berlaku kepada spesies tumbuhannya.
Salah sebatang pokok pisang yang tumbuh di halaman belakang rumah guru dari Sekolah Rendah Kampung Kiarong itu tumbuh bu-kan dari pucuk, tetapi daripada batang pokoknya kira-kira dua kaki di bawah pucuknya.
Keanehan pokok itu diketahui oleh menantunya ketika mencari-cari buah pisang yang boleh ditebang untuk dijadikan cucur.
Ketika merayau-rayau di belakang rumah beliau ternampak keganjilan pada pokok pisang itu yang tidak pernah terjadi kepada belasan pokok pisang lain di halaman rumah itu.
Menurut pemilik pokok pisang itu, beliau tidak mempercayai kehadiran unsur lain yang berkaitan dengan bentuk fizikal pokok pisang itu, tetapi sekadar dijadikan kenangan yang jarang akan berulang.