KUALA LUMPUR, 19 MAC – Seramai 14 individu termasuk tiga penerbit dan tiga pencetak telah pun selesai memberi keterangan untuk membantu siasatan berhubung penemuan 13 naskhah Al-Quran dipercayai sengaja dibuang ke dalam longkang berhampiran tasik lombong di Jinjang, di sini, bulan lepas.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata polis kini masih dalam proses melengkapkan siasatan kes berkenaan dan sedang berusaha mengesan pihak yang melakukan perbuatan tidak bertanggungjawab itu.
“Kami masih belum dapat punca sebenar Al-Quran ini dari mana dan polis masih berusaha mengesan serta mengenal pasti pihak yang terlibat dengan pembuangan Al-Quran secara tidak berhemah itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan siasatan pembuangan Al-Quran di dalam longkang selepas hadir pada program High Profile Policing sempena Peringatan Hari Polis yang ke-216 di KLCC, di sini hari ini.
Sebelum ini, satu video tular di laman sosial yang memaparkan seorang individu mengutip beberapa naskhah Al-Quran, dipercayai dibuang pihak tidak bertanggungjawab di dalam longkang berhampiran lombong Taman Sri Murni di Gombak sehingga menimbulkan perasaan marah dalam kalangan umat Islam di negara ini. – Bernama