Datuk Syafinaz Selamat, seorang figura seni yang banyak pengalaman dalam industri muzik Malaysia.
Lebih dua dekad membenihkan segala ilmu yang berbekal di dada dalam industri ini, penyanyi, guru vokal dan juri program realiti ini tidak pernah lokek dalam berkongsi setiap pengetahuan mengenai muzik.
Malah, dia lebih terbuka dan mengalu-alukan seandainya ada penyanyi ingin mendapatkan khidmat nasihat mengenai nyanyian dan berkaitan dalam industri ini.
“Sekarang ini saya lihat makin terbuka. Ramai yang bertemu dengan saya untuk mempelajari vokal, menggunakan khidmat saya sebagai penasihat untuk konsert seperti penyanyi terkenal tanah air, Amy Search dan Misha Omar.
“Bagi saya, ini satu senario yang baik buat industri kita kerana sebelum ini kita tidak terbuka dengan perkara ini.
“Sebelum ini kita selalu fikir ‘alah, menyanyi sahajalah.’ Raw talent orang kita selalu sebut,” katanya.
Bakat sahaja tidak cukup. Bagi Syafinaz, seorang penyanyi sebenarnya memerlukan guru bagi mengasah lagi bakat yang dimiliki.
“Sebenarnya seorang penyanyi memerlukan satu lagi telinga yang dapat membantu mereka untuk mempermudah cara nyanyian mereka.
“Dia mempunyai bakat, tetapi mungkin kekurangan teknik. Jadi, di sinilah guru-guru vokal boleh membantu. Bukan menukar suaranya tetapi bagi membantu ‘menyenangkan’ kerja mereka.
“Misalnya, seperti saya bekerja dengan Misha Omar bagi lagu Tanpa Rela. Kita buat kelas di luar hanya untuk satu lagu itu sahaja. Jadi proses rakaman dalam studio nanti menjadi lebih mudah.
“Kita tahu teknik yang sesuai, cara nyanyian dan penjiwaannya,” kongsi penyanyi Ingin Bersamamu ini.
Kongsi Syafinaz, kebanyakan penyanyi yang sudah bergelar ‘otai’ dan berpengalaman besar sebagai seorang pemuzik tidak sedikit pun berasa malu untuk mendapatkan nasihat dan memperbaiki teknik nyanyian mereka.
“Kita perlu faham selepas sekian lama tiada persembahan dan aktiviti normal bagi seseorang penyanyi selepas fasa pandemik, sudah semestinya mereka perlu gilap semula nyanyian.
“Sebagai contoh, Amy Search pada usia ini malah dengan pengalamannya yang sangat besar serta seorang legenda rock tidak malu berjumpa dengan saya untuk belajar, memperbaiki teknik nyanyian serta meminta nasihat. Pada saya, itu adalah sesuatu yang boleh kita pandang tinggi terhadap penyanyi itu,” katanya.
Katanya lagi, kualiti sebagai seorang penyanyi lebih tinggi jika mereka membuka minda untuk memfokuskan bakat bagi mempelajari ilmu bidang ini. – Agensi