Buang sampah, 3 warga asing didenda

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 SEPT – Tiga warga asing telah dikenakan kompaun $100 setiap seorang oleh Bahagian Perlesenan dan Penguatkuasaan, Jabatan Daerah Brunei dan Muara (JDBM), kerana didapati melakukan kesalahan membuang dan melonggokkan sampah di tempat awam, semalam.

Menurut kenyataan yang diberikan JDBM, Sayed Ahmed dan Shahed warganegara Bangladesh serta Elisa Bisnar Abayhon warganegara Filipina melakukan kesalahan itu di pondok sub-stesen eletrik, Jabatan Perkhidmatan Elektrik di Kampung Sengkurong.

Kenyataan menyatakan, ketiga-tiga individu tersebut telah dikenakan kompaun di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Kecil Penggal 30 Bab 12 (1), dan diberikan tempoh tujuh hari untuk menjelaskan kompaun berkenaan.

Jika gagal menjelaskan, mereka boleh dihadapkan ke mahkamah di mana jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi $1,000 bagi kesalahan pertama, manakala kesalahan seterusnya boleh didenda tidak melebihi $3,000 dan penjara tidak lebih tiga bulan.

Sehubungan dengan ini, JDBM melalui Bahagian Perlesenan dan Penguat-kuasaan sekali lagi memberikan peringatan kepada orang ramai agar sentiasa menjaga kebersihan alam sekitar dan mengamalkan sikap bertanggungjawab terhadap pembuangan sampah yang teratur bagi mengelakkan risiko pencemaran alam sekitar dan juga menjaga keselamatan serta kesejahteraan masyarakat awam.