Buang sampah: 4 kena kompaun

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 OGOS – Tiga buah syarikat dan seorang warga tempatan telah didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Kecil, Penggal 30 Bab 12 (1) semasa pemantauan kebersihan rutin harian yang dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang (BPU), Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan (BSB), baru-baru ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh jabatan tersebut, hari ini, sebuah syarikat dikenakan kompaun sebanyak $500 setelah didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Kecil, Penggal 30 Bab 12 (1) (d) kerana membuang bekas bahan-bahan binaan di kawasan tanah lapang Kampung Beribi.

Sementara itu, dua buah syarikat dikenakan kompaun sebanyak $200 dan seorang individu dikenakan kompaun sebanyak $100 kerana didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Kecil, Penggal 30 Bab 12 (1) (b) kerana melonggokkan sampah di kawasan premis perniagaan Kampung Kiulap dan Kampung Serusop.

Kenyataan menyatakan bahawa dalam kes berkenaan, syarikat-syarikat serta individu berkenaan dikehendaki membayar kompaun ke Bahagian Kewangan, Tingkat 3, Jabatan Bandaran BSB dalam tempoh tujuh hari.

Kegagalan dalam menjelaskan bayaran kompaun tersebut akan mengakibatkan kes mereka dihadapkan ke mahkamah, yang mana bagi kesalahan pertama boleh membawa hukuman denda $1,000.

Manakala kesalahan kedua dan seterusnya boleh didenda $3,000 dan penjara tidak melebihi tiga bulan.

Jabatan itu juga mengingatkan orang ramai dan syarikat-syarikat supaya tidak membuang sampah di tempat-tempat awam mahupun tanah-tanah lapang dengan niat untuk memasuki serta membuang sampah tanpa kebenaran yang sah demi menjaga keselesaan penduduk setempat.

Sebarang aduan dan perkongsian maklumat boleh disampaikan terus menerusi Talian Darussalam 123, WhatsApp 8333123, laman sesawang, www.123.gov.bn atau e-mel, [email protected]

Longgokan sampah di kawasan premis perniagaan yang didapati oleh pegawai BPU, Jabatan Bandaran BSB semasa pemantauan kebersihan rutin harian, baru-baru ini. – Gambar serahan Jabatan Bandaran BSB