Buang sampah merata, warga Bangladesh kena kompaun $300

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 APRIL – Seorang warga Bangladesh dikenakan kompaun sebanyak $300 setelah didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil Penggal 30, Bab 12 (1)(d) kerana membuang sampah atau mencampakkan bekas bahan binaan di kawasan belakang Bangunan Regent Square, Kiulap ketika pemantauan yang dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang, Jabatan Bandaran, Bandar Seri Begawan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Bandaran, di sini, hari ini, kompaun berkenaan dikeluarkan oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang Jabatan Bandaran tersebut, semasa pemantauan kebersihan rutin harian pada 22 April lalu.

Jabatan Bandaran menyatakan bahawa individu berkenaan dikehendaki membayar kompaun ke Bahagian Kewangan, Tingkat 3, Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan dalam tempoh masa tujuh hari.

Kegagalan dalam menjelaskan bayaran kompaun berkenaan akan dihadapkan ke mahkamah yang mana bagi kesalahan pertama boleh membawa hukuman denda $1,000 manakala kesalahan kedua dan seterusnya boleh didenda $3,000 dan penjara tidak melebihi tiga bulan.

Jabatan Bandaran, Bandar Seri Begawan juga mengingatkan orang ramai supaya tidak membuang membuang sampah di merata-rata tempat demi menjaga kemaslahatan orang ramai dan menjaga kebersihan Negara Brunei Darussalam.

Sebarang aduan dan maklumat yang berkaitan dan mencurigakan boleh disampaikan terus ke Talian Darussalam 123, WhatsApp, 8333123 atau e-mel, [email protected] dan laman sesawang, www.123.gov.bn.