Tidak dinafikan ketika berkunjung ke sebuah tempat sama ada di tempat pengajian, kerja, masjid, kedai beli-belah termasuk majlis kenduri, perkara penting apabila sudah tiba ke destinasi yang dituju adalah tempat letak kereta.
Biasanya peluang untuk mendapat letak kereta adalah tertakluk kepada keadaan dan kawasan. Pengguna kenderaan tidak semestinya mempunyai nasib yang baik untuk memperolehi ruang letak kereta yang kosong.
Begitu juga bagi yang telah mendapat letak kereta belum tentu akan dapat meninggalkan kawasan akibat dihalang oleh pengguna kenderaan lain.
Baru-baru ini selepas selesai sahaja menunaikan Sembahyang Fardu Jumaat, saya dan jemaah lainnya beredar keluar meninggalkan masjid untuk pulang ke rumah masing-masing. Malangnya, hajat tersebut terhalang oleh sebuah kenderaan yang telah menghalang kenderaan saya. Oleh itu, saya terpaksa menunggu lama sehinggakan keadaan di sekeliling menjadi lenggang.
Perkara seumpama itu juga pernah saya saksikan terjadi pada orang lain semasa menghadiri majlis kenduri. Mungkin di-sebabkan kesesakan atau ruang terhad di kawasan berkenaan menyebabkan pengguna tersebut meletakkan kenderaan di kawasan penghuni rumah orang lain di mana ia telah menghalang laluan bagi kenderaan yang terdapat di sana.
Justeru, perkara seumpama itu perlu dielakkan. Jika tidak dapat dielakkan kerana kecemasan, mereka sekurang-kurangnya meninggalkan nombor yang boleh dihubungi pada pelekat kertas.
Selain itu, tanggungjawab pemilik kenderaan juga penting. Jika sudah menyedari bahawa mereka telah menghalang kereta orang lain maka bertindaklah dengan segera untuk memindahkan kereta ke tempat yang sesuai.
Z-racer