Buangan najis banjiri 300 rumah

NEW YORK, 1 DIS – Pembetung yang tersekat membanjiri tingkat bawah rumah semalam dengan kotoran dan meninggalkan penduduk di kawasan berhampiran Lapangan Terbang Kennedy di Bandar New York rasa loya akibat bau busuk.

Keadaan air yang menyebabkan pembetung tersekat, sekali gus membawa buangan najis mengalir memasuki kira-kira 300 rumah di Jamaica, Queens, kata pegawai.

Cynthia McKenzie berkata beliau terjaga pada kira-kira pukul 3 pagi disebabkan bau yang disangkanya berpunca daripada kebocoran gas, namun menyedari air pembetung sedang mengalir memasuki tingkat bawah rumahnya. Tatkala paras air naik, McKenzie berkata beliau bergegas untuk memindah perabot dan barang lain, namun sesetengah barangan elektronik tidak dapat diselamatkan. Selepas beberapa jam, seluruh kawasan dibanjiri dalam air kohong.

“Ia amat kotor,” kata McKenzie, yang menyiar gambar menunjukkan air keruh membanjiri lantai tingkat bawah bilik tidur dan bawah tangga.

“Apabila anda membukanya, baunya amat kuat,” katanya. “Ia membuat anda mahu muntah. Kami terpaksa mengemas semua pakaian.”

Datuk Bandar Bill de Blasio berkata kru sedang menjalankan kerja-kerja mebaiki dan membawa masuk peralatan pam untuk membersihkan kotoran.

Agensi air bandar berkata air minuman adalah selamat dan tidak terjejas, namun de Blasio menasihat penduduk supaya mengurangkan penggunaan untuk mengelak air daripada memasuki pembetung utama yang tersekat. Pegawai berkata punca mungkin minyak masak yang telah dicurah ke dalam longkang.

“Masa ini kami menerima aduan sekatan minyak dalam pembetung daripada penduduk yang membuang minyak,” beritahu ketua perlindungan alam sekitar bandar Vincent Sapienza kepada wartawan. “Kami mengandaikan masalahnya adalah minyak.”

De Blasio berkata Palang Merah Amerika dan wakil pengurusan kecemasan bandar berada di tempat kejadian untukmembantu keluarga yang berpindah akibat pembetung tersekat.

Bandar itu membuka sebuah pusat perkhidmatan untuk penduduk yang terjejas di sebuah sekolah awam berhampiran.

De Blasio berkata bandar itu berusaha menyediakan bilik hotel kepada sesiapa yang tidak dapat pulang ke rumah malam semalam.

“Ia tidak dapat dihuni,” kata McKenzie. “Semua kotoran terdapat di seluruh kawasan.” – AP