Buangan pertanian jadi bahan api penerbangan

SHENYANG, 31 Mac – Ahli sains China telah mencipta satu kaedah untuk menukar bahan buangan pertanian kepada bahan api penerbangan kepadatan tinggi, yang mungkin mengurangkan pengeluaran karbon dioksida daripada industri penerbangan.

Para penyelidik Institut Fizik Kimia Dalian di bawah Akademi Sains China menggunakan selulosa, komponen utama bahan buangan pertanian dan perhutanan, sebagai bahan mentah untuk menghasilkan sebatian polycyoalkane.

Sebatian ini memaparkan takat beku yang lebih rendah dan kepadatan lebih tinggi berbanding dengan bahan api jet biasa. Ia boleh digunakan sebagai satu alternatif kepada bahan api penerbangan kepadatan tinggi atau sebagai bahan tambahan untuk mempertingkatkan kecekapan bahan api penerbangan lain.

Biobahan api itu diperoleh daripada biojisim dan mempunyai kepadatan yang lebih tinggi, di mana pesawat udara boleh terbang lebih jauh dan membawa lebih banyak berbanding kapal terbang yang menggunakan bahan api jet biasa. Ia akan membantu mengurangkan jumlah penerbangan, sekali gus mengurangkan pengeluaran karbon dioksida, menurut kumpulan penyelidikan.

Penyelidikan menawarkan strategi baru untuk pengeluaran bahan api penerbangan moden dengan selulosa. Penyelidik masih membuat peningkatan, dan ia dijangka diperdagangkan dalam masa tiga hingga lima tahun. Penyelidikan diterbitkan dalam jurnal Joule. – Xinhua