Buat perancangan sebelum persaraan

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 SEPT – Tabung Amanah Pekerja (TAP) hari ini, telah mengadakan taklimat dan sesi konsultasi perancangan persaraan untuk pegawai dan kakitangan Syarikat Penerbangan Diraja Brunei Sdn Bhd (RB).

Menurut kenyataan yang dikeluarkan TAP, antara perkara yang disampaikan semasa taklimat adalah maklumat mengenai skim-skim dan perkhidmatan di bawah TAP dan penerangan khusus mengenai perancangan persaraan serta kepentingannya.

TAP mengongsikan faktor yang perlu dipertimbangkan termasuklah matlamat gaya hidup yang ingin dijalani semasa bersara, impak inflasi ke atas perbelanjaan, pendapatan persaraan yang diperlukan untuk keperluan seharian semasa bersara, dan yang paling penting adalah tindakan yang perlu diambil sekarang bagi memastikan matlamat kehidupan persaraan yang selesa dapat dikecapi.

Di samping itu, TAP menerangkan mengenai aplikasi mudah alih TAP Brunei di mana ahli boleh membuat perkiraan anggaran simpanan TAP dan SCP mereka setelah bersara nanti dan juga perkiraan anggaran simpanan tambahan yang perlu dibuat dari sekarang bagi mencapai pendapatan persaraan yang diperlukan semasa bersara.

Turut dikongsikan semasa taklimat berkenaan adalah mengenai Caruman Sukarela. Ahli-ahli TAP yang ingin meningkatkan lagi jumlah simpanan TAP dan SCP semasa mencapai umur persaraan boleh mencarum lebih daripada kadar mandatori yang ditetapkan secara sukarela dan ia boleh dibuat melalui perbankan dalam talian.

Pada sebelah petang pula, acara diteruskan dengan sesi konsultasi perancangan persaraan bersama perancang-perancang persaraan TAP dan pendaftaran e-Amanah bagi peserta taklimat. e-Amanah merupakan perkhidmatan dalam talian TAP yang membolehkan ahli melihat dan meneliti caruman serta simpanan TAP dan SCP mereka.

Orang ramai khususnya ahli-ahli TAP yang ingin mendapatkan maklumat lebih lanjut bolehlah melayari laman sesawang www.tap.com.bn ataupun dengan menghubungi TAP di talian 2382800 dan 2382929 atau melalui e-mel [email protected]

Antara warga RB yang menghadiri sesi taklimat yang dikendalikan oleh TAP. – Gambar serahan TAP