Sunday, April 20, 2025
31.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Buat tempahan terlebih dahulu untuk vaksinasi

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 MEI – Bagi memudahkan proses suntikan vaksin COVID-19, mengelakkan kesesakan di pusat-pusat vaksinasi dan untuk keselesaan serta agar tempoh masa menunggu tidak lama, Kementerian Kesihatan memohon kerjasama orang ramai untuk membuat tempahan slot bagi suntikan vaksin COVID-19 melalui aplikasi BruHealth dan tidak menggalakkan orang ramai untuk hadir secara walk-in di mana sebagai makluman slot untuk walk-in akan masih diberikan dalam jumlah yang terhad.

    Orang ramai yang hadir untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 dikehendaki untuk memakai penutup mulut dan hidung dan mengamalkan penjarakan sosial semasa beratur serta mengikuti arahan-arahan yang diberikan oleh pegawai dan kakitangan yang bertugas di pusat-pusat vaksinasi.

    Sebanyak 20,108 dos suntikan vaksin COVID-19 AstraZeneca telah diberikan semasa Program Vaksinasi bagi vaksin COVID-19 AstraZeneca secara sukarela yang bermula 6 Mei dan berakhir kelmarin.

    Kementerian Kesihatan menyatakan bahawa pemberian suntikan vaksin COVID-19 akan diteruskan mengikut fasa-fasa yang digariskan dalam Strategi Vaksinasi Kebangsaan bagi COVID-19 di mana pada masa ini, ia masih berada di fasa pertama iaitu bagi petugas barisan hadapan, warga emas berumur 60 tahun ke atas dan pelajar-pelajar yang akan menyambung pengajian di luar negeri.

    Kementerian menyatakan lagi bahawa mereka yang berada dalam kategori fasa pertama boleh membuat tempahan slot suntikan vaksin COVID-19 AstraZeneca dalam aplikasi BruHealth bermula kelmarin.

    Kelihatan orang ramai berbaris untuk mendapatkan vaksin pada hari terakhir Program Vaksinasi bagi vaksin COVID-19 AstraZeneca secara sukarela di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah. – Gambar oleh Bahyiah Bakir

    Orang ramai juga dimaklumkan bahawa pemberian suntikan vaksin COVID-19 adalah percuma bagi kesemua rakyat dan penduduk yang bermastautin di Negara Brunei Darussalam.

    Bekalan vaksin yang disediakan juga mencukupi bagi semua rakyat dan penduduk yang layak menerima suntikan vaksin COVID-19. Perlaksanaan Program Vaksinasi Kebangsaan bagi COVID-19 akan dilaksanakan secara berterusan sehingga sekurang-kurangnya 70 peratus daripada populasi di Negara Brunei Darussalam telah menerima vaksin COVID-19.

    Kementerian Kesihatan juga memohon kerjasama orang ramai untuk tidak menyebarkan maklumat atau berita yang tidak disahkan atau dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan yang boleh membawa kekeliruan kepada orang ramai dan menasihatkan orang ramai untuk tidak mudah terpedaya dan percaya akan maklumat-maklumat dan berita yang disebarkan melalui Internet atau melalui media-media lain seperti Whatsapp, Twitter dan Facebook tanpa memastikan kesahihannya.

    Kementerian Kesihatan menekankan bahawa tindakan menyebarkan maklumat, apalagi maklumat palsu bermaksud untuk mengelirukan dan menimbulkan ketakutan dan kegelisahan, serta ketegangan di kalangan masyarakat adalah menjadi kesalahan dan boleh dilaporkan di bawah perundangan Akta Ketenteraman Awam, Penggal 148 Seksyen 3.

    Bagi orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut, mereka boleh melayari laman web Kementerian Kesihatan, www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 semasa waktu pejabat.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda