Buat ujian swab lebih awal sebelum penerbangan

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 SEPT – Orang ramai yang ingin mendapatkan ujian saringan SARS-COV-2 (ujian swab) terutama sekali mereka yang ingin membuat perjalanan keluar negeri, hendaklah menjalankan ujian sekurang-kurangnya tiga ke lima hari sebelum tarikh penerbangan mereka, tertakluk kepada syarat-syarat negara yang akan dituju.

Hasil bagi ujian berkenaan akan mengambil masa dan orang ramai hendaklah bersabar untuk mendapatkan keputusan ujian mereka, Kementerian Kesihatan memaklumkan dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Kenyataan menjelaskan, orang ramai yang ingin mendapatkan ujian tersebut bagi perjalanan keluar negeri boleh mendapatkannya di Pusat Kesihatan Berakas yang beroperasi setiap Isnin hingga Khamis dan Sabtu, dari 7:45 pagi hingga 12:15 tengah hari dan 1:30 petang hingga 4:30 petang manakala itu, pada Jumaat, Ahad dan hari-hari kelepasan awam dibuka dari 2 petang hingga 6.

Ujian juga boleh dibuat di Kompleks Sukan, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) yang beroperasi setiap hari kecuali hari kelepasan awam, dari pukul 7 pagi hingga 10 malam.

Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan memaklumkan bahawa setakat pukul 12 tengah hari ini, tiada kes baharu COVID-19 telah dicatatkan di negara ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes kekal seramai 145 orang dengan tiga kes masih aktif.

Manakala itu, sejumlah 368 orang sedang menjalani pengasingan diri mandatori dengan 5,404 orang telah menamatkan pengasingan diri mandatori sejak Mac 2020.

Dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 195 sampel juga telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 53,723 ujian.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman web Kementerian Kesihatan iaitu www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 atau melalui aplikasi healthinfo.gov.bn.