Wednesday, April 24, 2024
30.9 C
Brunei

    -

    Buaya 4.5 meter dalam longkang

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 JAN – Anggota bomba dan penyelamat telah berjaya menangkap seekor buaya berukuran 4.5 meter panjang dalam longkang di kawasan berhampiran sebuah kedai di Jalan Muara, hari ini, sesuatu yang jarang sekali didengar dan menjadi bualan ramai.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), di sini, hari ini, tujuh orang anggota bomba dan penyelamat dari Balai Bomba Muara yang diketuai oleh SO Murni bin Haji Misir telah dikejarkan ke insiden gangguan binatang liar berkenaan.

    Anggota bomba berjaya menangkap buaya berkenaan menggunakan tali serta snare catcher.

    Buaya berkenaan telah diserahkan kepada pihak jabatan haiwan liar untuk tindakan selanjutnya dan tidak ada sebarang kemalangan jiwa berlaku dalam kejadian itu.

    Kenyataan seterusnya menerangkan bahawa antara punca kemunculan binatang-binatang liar seperti buaya, biawak dan ular adalah kawasan yang tidak bersih dan terurus di mana ia mengundang kehadiran binatang kecil seperti tikus; rumput atau lalang yang terlalu panjang di mana boleh menjadi tempat tinggal binatang liar berkenaan serta kehadiran binatang ternakan atau binatang peliharaan yang boleh menjadi sasaran binatang liar
    berkenaan.

    Dalam hubungan itu, JBP menyarankan orang ramai supaya memastikan persekitaran rumah dalam keadaan bersih dan teratur serta memastikan pintu rumah dan jendela dalam keadaan tertutup, jika mereka tidak berada di rumah bagi mengelakkan binatang-binatang liar seperti anjing liar, ular, buaya dan monyet memasuki rumah mereka.

    JBP menyarankan bahawa jika berlaku sebarang insiden kecemasan, orang ramai boleh menghubungi terus talian kecemasan 995 dan memberikan maklumat yang tepat.

    Buaya biasanya menjadikan sungai-sungai dan muara sungai sebagai habitat utama, namun penemuan seekor buaya dalam longkang berhampiran sebuah kedai di Jalan Muara di negara ini adalah jarang dan menjadi bualan ramai. Buaya sepanjang 4.5 meter itu bagaimanapun berjaya ditangkap oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) serta diserahkan kepada Jabatan Haiwan Liar untuk tindakan lanjut. – Gambar serahan JBP
    Buaya berukuran 4.5 meter yang berjaya ditangkap oleh anggota bomba dan penyelamat dalam longkang di kawasan berhampiran sebuah kedai di Jalan Muara, kelmarin. – Gambar serahan JBP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Badak air betina disangka jantan

    TOKYO, 23 APRIL - Terperdaya oleh DNA dan tabiat tandas yang pelik, seekor badak air di Jepun yang disangka jantan selama tujuh tahun sebenarnya...