Buaya baham remaja 14 tahun ditangkap

KUCHING, 31 JULAI – Seekor buaya dipercayai membaham seorang remaja lelaki berusia 14 tahun, Ahad lalu, di sungai Batang Belawai, dekat Tanjung Manis, kira-kira 464 kilometer dari sini, berjaya ditangkap oleh Unit Pasukan Tindakan Pantas Hidupan Liar (SWAT), hari ini.

Buaya berukuran 4.7 meter dengan lebar 1.7 meter itu ditangkap menggunakan umpan bangkai ayam kira-kira tiga kilometer dari jeti dan berdekatan lokasi mangsa dilaporkan hilang ketika mencari siput di sungai berkenaan.

Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Tiong Ling Hii, berkata buaya yang ditangkap pada jam 9:15 pagi itu telah dibawa ke Rumah Dadat bagi proses mendapatkan bukti sebelum bedah siasat disaksikan oleh pegawai polis, keluarga mangsa dan penduduk kampung.

“Hasil bedah siasat itu menemukan baju serta beberapa bahagian anggota badan manusia di dalam perut buaya berkenaan,” katanya. – Bernama