Buaya ditangkap berhampiran taman permainan di Jerudong

Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan JBP

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 JUN – Satu kejadian yang jarang didengar berlaku apabila seekor buaya ditemui berada dalam longkang berdekatan dengan Taman Permainan Jerudong Park, Jerudong pada 12 Jun lalu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), di sini, tujuh orang anggota serta dua buah jentera dari Balai Bomba Jerudong yang diketuai oleh Pemangku DSO Saini bin Gapor telah dikejarkan ke insiden gangguan binatang liar itu.

Anggota bomba dan penyelamat yang tiba di tempat kejadian mendapati seekor buaya berukuran kira-kira 2 meter panjang berada dalam longkang di sekitar taman permainan berkenaan. Anggota bomba dan penyelamat berjaya menangkap buaya berkenaan menggunakan tali khas dan snake catcher di mana buaya itu seterusnya diserahkan ke Jabatan Bahagian Hidupan Liar. JBP menyarankan orang ramai untuk memastikan kebersihan persekitaran rumah mereka sentiasa dalam keadaan terjaga dan longkang dalam keadaan kering dan tidak semak dengan rumput liar serta memastikan pintu rumah dan jendela dalam keadaan tertutup jika mereka tidak berada di dalam rumah bagi menggelakkan binatang liar seperti ular, buaya dan sebagainya memasuki rumah. mereka.

Anggota Bomba dan Penyelamat menangkap buaya yang didapati di dalam longkang berdekatan dengan taman permainan di Jerudong.