Buaya muncul di bandar

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 JUN – Sesuatu yang jarang sekali didengar dan menjadi tanda tanya segelintir pihak apabila seekor anak buaya ditemui di dalam longkang berhampiran dengan Bangunan BIBD Takaful, ibu negara, hari ini.

Buaya tersebut bagaimanapun telah berjaya ditangkap oleh anggota bomba dan penyelamat setelah menerima panggilan kecemasan pada jam 1:39 petang tadi mengenai kehadiran haiwan liar tersebut.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), di sini, hari ini, lima anggota bomba dan penyelamat yang diketuai oleh Ahli Bomba Kanan No 22 Mohd Noorerawan bin Haji Metusin berkejar ke tempat kejadian bersama sebuah jentera dari Balai Bomba Bandar Seri Begawan.

Kenyataan menjelaskan lagi, sebaik anggota bomba dan penyelamat tiba di tempat kejadian, seekor anak buaya berukuran kira-kira 1 meter dilihat berada di dalam longkang.

Ahli-ahli bomba dan penyelamat terus bertindak untuk menangkap anak buaya berkenaan menggunakan jerat.

Semasa operasi tersebut tiada sebarang kecederaan atau sebarang kerugian harta benda dilaporkan berlaku.

JBP menyarankan bahawa jika berlaku sebarang insiden kecemasan, orang ramai perlu berhubung terus kepada Pusat Gerakan JBP melalui talian kecemasan 995 dengan memberikan maklumat yang tepat.

Seekor anak buaya yang telah ditangkap di dalam longkang berhampiran Bangunan BIBD Takaful. – Gambar oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat