Buaya Perang Dunia II maut pada usia 84 tahun

MOSCOW, 26 MEI – Seekor buaya Mississippi yang terselamat ketika serangan bom di Zoo Berlin pada 1943 dan ditempatkan di Jerman Timur selepas Perang Dunia II, menemui ajal pada usia 84 tahun.

Zoo Moscow, dalam satu kenyataan semalam, berkata kematian buaya yang diberi nama Saturn itu menandakan ‘penamatan satu era’, namun dianggap sesuatu yang membanggakan kerana haiwan itu jarang melepasi usia 50 tahun dalam habitat liar.

Reptilia yang dikatakan lahir di Amerika Syarikat pada 1936, dipindahkan ke Zoo Berlin namun berjaya melepaskan diri pada pada 23 November 1943 berikutan serangan bom yang membunuh beberapa buaya lain yang ada bersamanya. Pada 1946, buaya itu ditemui semula oleh tentera British, yang menyerahkannya kepada pihak berkuasa Soviet dan menurut pihak zoo, statusnya semasa ia hilang selama tiga tahun masih menjadi misteri.

Pada Julai 1946, Saturn dibawa ke Moscow dan ketika itu, timbul pelbagai khabar angin, antaranya mengatakan haiwan itu adalah sebahagian daripada koleksi peribadi pemimpin nazi Jerman, Adolf Hilter. Haiwan terbabit amat memilih makanan dan suka diurut menggunakan berus, namun pihak zoo menganggap ‘khidmat’ kepada Saturn sebagai satu penghormatan. – AFP

Buaya Mississippi yang berusia 84 tahun, yang terselamat ketika serangan bom di Zoo Berlin pada Perang Dunia II, telah menemui ajal.- AP