Buaya perlu dilindungi walaupun belum diancam kepupusan

KOTA KINABALU, 29 OKT – Walaupun buaya pada masa ini tidak menghadapi risiko kepupusan yang tinggi, namun usaha melindungi reptilia itu perlu diteruskan, kata Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Christina Liew.

Beliau berkata buaya berperanan sebagai pemangsa terbesar dalam rantaian makanan di sungai dan tasik, menjadikan reptilia itu penting dalam mengekalkan keseimbangan dalam ekosistem air tawar dan muara yang kompleks.

“Apabila habitat tanah lembap terjaga, sumber perikanan juga terjaga. Buaya juga boleh menarik pelancong dan telah menjadi produk pelancongan yang menguntungkan di kawasan seperti di utara Australia,” katanya dalam ucapan ketika melancarkan buku ‘Opogi, A Borneon Crocodile’, di sini hari ini.

Liew yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah berkata, buaya bukan spesies popular kerana reputasinya sebagai haiwan pemangsa.

Beliau berkata di Sabah, buaya pertama kali diberi perlindungan undang-undang pada tahun 1982 dan masih dilindungi hingga hari ini di bawah Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.

Pada tahun 2010, populasi buaya dianggarkan sekitar 13,000 hingga 15,000 dan kini Jabatan Hidupan Liar Sabah dan Pusat Lapangan Danau Girang menjalankan kajian menyeluruh mengenai populasi buaya di sepanjang sungai utama di Sabah.

“Apabila kajian selesai pada bulan November ini, ia dapat menentukan populasi semasa dan demografi buaya di Sabah serta menentukan bilangan buaya berdasarkan perbandingan dengan angka terdahulu,” katanya.

Sementara itu, pengarang buku, Jaswinder Kaur Kler berkata beliau mengambil masa setahun untuk menulis buku itu termasuk proses mengumpul gambar dan percetakan.

Beliau berkata buku itu memberi fokus kepada haiwan penting dan dilindungi yang terdapat di Sabah dan kisah perjalanan hidup seekor buaya di Kinabatangan. – Bernama