Buaya raksasa ditangkap selepas 8 tahun

SYDNEY, 10 Julai – Seekor buaya air masin besar seberat 600 kilogram akhirnya berjaya ditangkap selepas usaha memburu selama lapan tahun di Australia, kata pegawai hari ini.

Haiwan sepanjang 4.7 meter itu ditemui dalam perangkap di hilir sungai dari bandar pedalaman utara Katherine selepas pertama kali ditemui pada tahun 2010.

Pihak berkuasa telah melakukan percubaan yang sia-sia selama beberapa tahun untuk menangkap buaya itu, yang dianggarkan berusia 60 tahun.

“Kami telah memberinya bermacam-macam nama disebabkan ia amat sukar ditangkap,” beritahu pegawai kanan hidupan liar John Burke kepada penyiar tempatan ABC.

“Ia agak menyeronokkan, namun anda juga perlu mengagumi saiz haiwan dan umurnya. Anda perlu menghormatinya.”

Buaya sepanjang 4.7 meter (15.4 kaki) ditemui dalam perangkap di hilir sungai dari bandar pedalaman utara Katherine selepas mula dilihat pada tahun 2010. – AFP

Haiwan itu dibawa ke taman buaya untuk ditempatkan secara berasingan daripada penduduk tempatan, kata ketua operasi hidupan liar Wilayah Utara Tracey Duldig.

“Ia adalah buaya terbesar yang dipindahkan dari Sungai Katherine oleh Unit Operasi Hidupan Liar,” kata Duldig dalam satu kenyataan.

Renjer hidupan liar menangkap kira-kira 250 ‘buaya yang mendatangkan masalah’ setiap tahun.

Buaya air masin adalah haiwan yang biasa ditemui di kawasan utara tropika Australia dan membunuh dua orang setahun.

Jumlah buaya telah meledak sejak ia diisytiharkan spesis dilindungi pada tahun 1970, dengan pembunuhan seorang wanita tua pada tahun lalu mencetuskan permintaan untuk mengawal jumlah mereka. – AFP