Buaya sepanjang 3.2 meter ditangkap

KOTA KINABALU, 8 Jan – Peluang seekor buaya untuk menjamu selera dengan membaham anjing milik penduduk Kampung Ramayah di Penampang sejak beberapa bulan lepas, kini berakhir.

Pagi ini, Jabatan Hidupan Liar Sabah (SWD) berjaya menangkap buaya jantan sepanjang 3.2 meter itu, yang diberi nama ‘Olog-Olog’ oleh penduduk kampung berkenaan, di Sungai Togop, yang mengalir berhampiran kampung tersebut.

Olog-Olog, buaya terbesar ditangkap SWD setakat ini, ditemukan di dalam perangkap yang dipasang anggota jabatan itu semalam.

Unit Penyelamat Hidupan Liar menangkap reptilia itu susulan laporan orang ramai tengah hari semalam bahawa buaya berkenaan kelihatan di sungai tersebut, kata Pengarah SWD, Augustine Tuuga.

Unit Penyelamat SWD menangkap seekor buaya berukuran 3.2 meter, yang dianggap buaya terbesar pernah ditangkap di Sungai Togop, Kampung Ramayah di Penampang, Sabah kelmarin. – Bernama
Unit Penyelamat SWD menangkap seekor buaya berukuran 3.2 meter, yang dianggap buaya terbesar pernah ditangkap di Sungai Togop, Kampung Ramayah di Penampang, Sabah kelmarin. – Bernama

“Saya mengarahkan WRU kami memasang perangkap buaya. Buaya ini jauh lebih besar daripada buaya yang pernah kami tangkap sebelum ini,” katanya dalam kenyataan di sini.

Penolong Pengarah SWD, Dr. Sen Nathan berkata penduduk kampung melaporkan bahawa walaupun buaya itu dilihat sejak beberapa bulan lepas, tetapi mereka menjadi bimbang apabila ia makin membesar dan membahayakan mereka. – Bernama