Buaya tembaga cuba sambar kaki pemancing berjaya ditangkap

KUALA NERUS, 4 OKT – Seekor buaya tembaga seberat 70 kilogram berjaya ditangkap sekumpulan pemancing di kawasan lombong tinggal di Kampung Ladang Sentosa di sini, petang semalam.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata reptilia berukuran 2.3 meter itu diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu hari ini. Menurut beliau, sekumpulan pemancing yang juga penduduk kampung berkenaan memasang perangkap buaya yang sebelum itu cuba menyambar kaki salah seorang daripada pemancing di kawasan berkenaan.

“Mereka juga telah menghubungi pihak APM pada pukul 5:45 petang semalam. Pihak kami (APM) datang ke lokasi dan membawa buaya tersebut ke pejabat APM di sini untuk diserahkan kepada pihak Perhilitan,” katanya kepada pemberita ketika di temui di Ibu Pejabat APM Terengganu, di sini hari ini. – Bernama

Kakitangan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu mengikat kaki buaya tembaga seberat 70 kilogram untuk disimpan di pejabat Perhilitan buat sementara waktu ketika ditemui di Ibu Pejabat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu. – Bernama