Thursday, April 25, 2024
26.3 C
Brunei

    -

    Bubu: Warisan perikanan yang semakin pupus

    SINGAPURA – ‘Sudong Bersaudara’ merupakan antara pengamal terakhir menangkap ikan menggunakan bubu, warisan perikanan Singapura yang semakin pupus.

    Pada awal pagi Sabtu, Ahmad Sah Mohamad, 69, dan Hamzah Mohamad, 66, melabuhkan sauh dari sampan kecil mereka ke kawasan laut di barat daya tanah besar Singapura. Mereka memeriksa perangkap bubu baharu mereka, menilai arus air dan bersedia untuk mengangkut hasil tangkapan mereka.

    Ia merupakan kaedah menangkap ikan yang telah diamalkan di Singapura selama beberapa dekad, dan mereka berdua kini dikenali sebagai ‘Sudong Bersaudara’ kerana mereka pernah tinggal di Pulau Sudong iaitu antara nelayan terakhir di Singapura yang masih mengekalkan kraf tersebut.

    Dua bersaudara itu membuat perangkap bubu mereka sendiri dan pergi ke tempat yang sama yang diceritakan oleh bapa mereka ketika mereka masih kanak-kanak sewaktu tinggal bahagian selatan Singapura.

    Perangkap bubu ialah struktur berbentuk kotak segi empat tepat yang diperbuat daripada dawai, dengan pintu masuk berbentuk kon untuk ikan memasukinya. Pintu masuk direka supaya ikan boleh berenang masuk ke dalam perangkap, tetapi tidak dapat keluar.

    Ahmad Sah (kiri) dan adiknya Hamzah memeriksa hasil tangkapan bubu mereka. – ANN/The Strait Times
    Antara ikan yang terperangkap di dalam bubu. – ANN/The Strait Times
    Kelihatan Ahmad Sah berada di dalam laut untuk mencari bubu yang lain. – ANN/The Strait Times
    Hamzah Mohamad mengeluarkan hasil dari tangkapan bubu. – ANN/The Strait Times

    Dua bersaudara itu dan penduduk lain Pulau Sudong, yang terletak kira-kira 10km di selatan Singapura, terpaksa meninggalkan pulau itu pada akhir 1970an kerana kawasan itu ajab digunakan untuk latihan ketenteraan.

    “Setiap hujung minggu kami pergi ke laut, kami tidak begitu jauh dari pulau, tempat kami meletakkan bubu agak berdekatan. Kami dapat melihat di mana kawasan perumahan lama dahulu (di pulau itu),” kata Hamzah, yang merupakan pesara tukang penghantar. “Ia adalah tradisi yang diwarisi turun temurun,” tambahnya.

    Dia kini cuba memastikan generasi akan datang tidak melupakannya. Setiap Sabtu, Ahmad Sah akan pergi mengambil bubunya, dan Hamzah membantunya mengeluarkan perangkap itu dari air. Manakala setiap Ahad, anak lelaki Hamzah, Amir Hamzah, 40, membantu bapanya mengeluarkan perangkap.

    Pada hari yang baik, perangkap Ahmad Sah, yang lebih besar dan diletakkan lebih dalam, mampu mempunyai berat sehingga 80kg. Dia tidak mengambil perangkap jika dia menganggarkan beratnya kurang daripada 5kg.

    Hamzah mengosongkan ikan yang terperangkap ke atas bot menggunakan lubang pada perangkap yang diikat dengan tali, dan menuang air laut ke dalam bot untuk memastikan ikan itu segar.

    Dia memberus perangkap itu sebelum membuangnya semula ke laut. “Ia seperti membersihkan rumah supaya tetamu mahu masuk,” jelas Hamzah. “Ia juga mengelakkan karat dan membolehkan bubu bertahan lebih lama.”

    Ahmad Sah masih di dalam air untuk mencari perangkap yang lain. Dia menunggu adiknya membersihkan perangkap sebelum menyelam ke dasar laut untuk meletakksn semula perangkap itu. Batu digunakan untuk menahan perangkap ke dasar laut. Bubu ditinggalkan selama beberapa minggu untuk membolehkan lebih banyak ikan terperangkap. Setelah beberapa perangkap bubu telah diambil, Ahmad Sah kembali ke atas bot dengan peralatan skuba.

    “Memang memenatkan, tetapi apabila melihat ikan yang berjaya ditangkap, penat itu hilang. Jumlah ikan yang kami tangkap menjadikannya berbaloi,” kata Hamzah.

    Dua beradik itu kemudian menyusun ikan dan meletakkannya ke dalam ais yang dibawa bersama mereka. Apabila perangkap sudah dipasang dan ikan disusun, mereka kembali ke Taman Pantai Barat. Tetapi kadangkala mereka menghadapi cabaran dalam perjalanan, seperti enjin berhenti dalam perjalanan menangkap ikan bersama anaknya pada bulan November lalu kerana air telah memasuki ke dalam minyak.

    “Itu kadang-kadang berlaku, tetapi kami sudah biasa… Kadang-kadang enjin rosak, tetapi kami tahu cara mendayung bot kami. Cabaran sebenar adalah apabila hujan turun dengan lebat. Apabila hujan turun semasa kami berada di tengah laut, kami perlu memutuskan ke mana hendak berteduh, seperti Pulau Hantu, misalnya,” kata Hamzah.

    Apabila nelayan tiba semula ke pantai, biasanya hampir tengah hari dan saudara-mara mereka serta pelanggan tetap yang mengetahui tentang ikan itu dari mulut ke mulut, sedang menunggu mereka untuk membawa hasil tangkapan. Ikan dituangkan keluar dari kotak, ditimbang dan dimasukkan ke dalam beg plastik untuk dijual dengan bantuan saudara-mara mereka.

    Hari itu mungkin bermula sebelum subuh tetapi kerja-kerja selesai pada pukul 2 petang, dan para nelayan meluangkan sedikit masa berbual dengan saudara-mara mereka di bawah tempat perlindungan yang dibina dua bersaudara itu beberapa tahun lalu sebelum mereka pulang ke rumah.

    Pada hari bekerja, dua beradik itu boleh dijumpai mengait lebih banyak bubu untuk persiapan hujung minggu.

    Bubu merupakan buatan tangan oleh nelayan. Peralatan tersebut sentiasa dalam permintaan, kerana perangkap akan terhakis oleh air laut selepas beberapa ketika. Dua bersaudara itu membuatnya untuk kegunaan sendiri dan juga untuk dijual kepada nelayan lain.

    “Jika kami menggunakan pukat untuk menangkap ikan, kami perlu pergi pada waktu petang dan hanya pulang keesokan harinya. Kami perlu menghabiskan sepanjang malam di laut. Dengan bubu, kita tidak perlu berbuat demikian. Kami boleh menghabiskan malam kami dengan menonton televisyen,” kata Hamzah.

    Walaupun anaknya kerap mengikutinya ke laut, terdapat kebimbangan tradisi mengait bubu dan memancing di ambang kepupusan di kalangan bekas penduduk pulau. Ahmad Sah berkata, ketika cucunya meminta untuk memancing, budak itu mahu menggunakan pancing kerana bubunya terlalu berat. – ANN/The Straits Times

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...