Budak 12 tahun terkubur dalam sampah

AHMEDABAD, INDIA, 28 SEPT – Para penyelamat hari ini bertungkus lumus mencari seorang budak perempuan berusia 12 tahun yang dipercayai terkubur selama dua hari di bawah longgokan sampah yang runtuh ketika sedang mengais-ngais sampah di barat India.

Neha Vasava bersama budak lelaki berusia enam tahun berada di puncak timbunan sampah setinggi 25 hingga 30 meter, tapak buangan terbesar Ahmedabad ketika ia runtuh pada malam Sabtu.

Dianggarkan empat juta penduduk India – kebanyakannya kanak-kanak – bekerja dalam keadaan yang sangat kotor dan berbahaya, sebagai ‘pengutip sampah’, menyelongkar di sebalik sampah logam dan lainnya untuk dijual.

“Budak lelaki itu juga terkubur dalam sampah tetapi disebabkan kepalanya tertonjol keluar di sebalik runtuhan itu, penduduk dapat menyelamatkannya,” kata timbalan ketua pegawai bomba, MP Mistry kepada AFP.

“Operasi kami akan diteruskan sehingga kami menemuinya.”

Mistry berkata operasi menyelamat sangat sukar ‘disebabkan tidak dapat bernafas di sekeliling bertantan sampah’ dan beberapa kelibat anjing yang menyelongkar sampah.

Kawasan buangan itu yang menerima sekitar 3,500 tan sampah setiap hari dari penduduk bandar seramai 5.6 juta itu merupakan rumah kepada ratusan keluarga miskin yang bekerja sebagai pengutip sampah. – AFP

Para penyelamat melancarkan operasi mencari di kawasan buangan sampah Piranan selepas Neha Vasava terkubur dalam timbunan sampah pada 27 September. – AFP