Budak 5-11 tahun bakal divaksin

WASHINGTON, 2 NOV – Menjangkakan kelulusan daripada penasihat vaksin, pentadbiran Biden sedang mengumpul dan menghantar jutaan vaksin COVID-19 untuk budak berusia 5-11 tahun, kata Rumah Putih semalam. Suntikan pertama mungkin diberikan pada hujung minggu ini.

“Kami bukan menunggu operasi dan logistik,” kata penyelaras koronavirus Jeff Zients. Dengan memvaksinasi kanak-kanak, Amerika Syarikat (AS) berharap dapat menangkis satu lagi gelombang koronavirus semasa bulan-bulan musim sejuk apabila penduduk menghabiskan masa dalam rumah dan penyakit pernafasan boleh merebak dengan mudah. Kes telah merosot selama beberapa minggu, namun virus itu telah berkali-kali menunjukkan keupayaannya untuk bangkit semula dan mutasi yang merebak dengan lebih senang merupakan ancaman berterusan.

Hari ini, panel penasihat khas untuk Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit akan bertemu untuk menimbang cadangan terperinci mengenai pemberian vaksin Pfizer kepada budak yang lebih muda. Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan telahpun meluluskan vaksin berkenaan, yang menyumbang satu pertiga daripada vaksin yang diberikan kepada orang dewasa. Selepas penasihat CDC memberikan saranan mereka, pengarah agensi Dr Rochelle Walensky akan mengeluarkan keputusan muktamad.

Zients berkata kerajaan mempunyai vaksin Pfizer yang mencukupi untuk kesemua 28 juta kanak-kanak dalam kumpulan umur 5-11 tahun. Kempen vaksinasi kanak-kanak dijangka bermula pada akhir minggu ini dan dilancarkan sepenuhnya pada minggu depan. – AP

Gambar serahan Pfizer menunjukkan kotak vaksin COVID-19 untuk dos kanak-kanak. AS bakal memvaksinkan jutaan kanak-kanak selepas panel penasihat meluluskan suntikan Pfizer untuk budak 5-11 tahun. – AP