Thursday, April 25, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Budak gigih jalani latihan CrossFit

    BRAZIL, 5 MEI – Cauzinho Neto, seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun dari Brazil, telah menjadi terkenal disebabkan susuk badannya yang mengagumkan dan rutin latihannya yang mencabar, yang jelas mengalahkan kebanyakan orang dewasa.

    Carlos Augusto Pitanga Neto, juga dikenali sebagai ‘Cauzinho’, hanya mula mengunjungi gim 2 tahun lalu di bawah pengawasan ayahnya, seorang penggemar kecergasan, tetapi dia sudah dianggap sebagai bakat luar biasa CrossFit yang mampu melakukan ‘deadlift’ lebih dua kali berat badannya dan melakukan 700 ‘crunch abs’ setiap hari.

    Kebanyakan kanak-kanak berusia 12 tahun mengalami kesukaran bangun untuk pergi ke sekolah pada hari biasa, tetapi Cauzinho bangun setiap hari pada 5:30 pagi untuk berlari sejauh 5km dan melakukan beberapa puluh tekan tubi. Selepas sarapan, dia pergi ke sekolah, dan selepas menyiapkan kerja rumahnya, dia menghabiskan dua setengah jam berlatih di gim, termasuk ‘deadlifts’, ‘squats’, ‘bench presses’, dan ‘bicep curls’.

    “Sebelum ini, dia tergila-gilakan bola sepak, tetapi kemudian dia hanya mahu tahu tentang CrossFit,” beritahu bapa Cauzinho tentang hari pertama anaknya di gim.

    Gambar dari Instagram, Cauzinho Neto. – Agensi

    “Kami bersetuju dia hanya berlatih semasa cuti akhir tahun sehingga permulaan tahun persekolahan berikutnya. Tetapi latihan selama 15 hari, dengan kelas yang disesuaikan dengan umurnya dan kecergasan fizikalnya, Cauzinho sudah mampu melaksanakan pergerakan di mana pelajar yang telah berlatih selama berbulan-bulan pun tidak dapat lakukannya.”

    Jurulatih Carlos tidak mengambil masa lama untuk menyedari terdapat sesuatu yang istimewa tentang Cauzinho, dan ibu bapanya memutuskan untuk memberi tumpuan kepada kerjaya atletiknya, dengan melabur dalam pasukan yang lengkap untuknya, termasuk pelatih, doktor, fisioterapi dan pakar pemakanan. Usaha mereka mula membuahkan hasil apabila Cauzinho diiktiraf sebagai CrossFit masa depan Brazil dan beliau telah pun mempunyai beratus-ratus ribu pengikut di media sosial.

    Gambar-gambar perut remaja 12 tahun yang berotot kekar dan video rutin latihannya yang mencabar baru-baru ini tular di Amerika Selatan dan Barat.

    Beliau dilihat mempunyai bakat angkat berat luar biasa, tetapi ada juga yang bimbang bahawa rutin latihan yang ekstrem itu boleh memberi kesan buruk kepada kesihatannya.

    “Terlalu membebankan untuk kanak-kanak yang masih membesar,” tulis seseorang tentang angkat berat ‘deadlift’ Cauzinho. “Tulang kanak-kanak masih lembut dan bebanan berat pada sendi-sendinya akan membawa kesan buruk … !!”

    Setakat ini, keluarga anak tersebut menolak tuduhan berkenaan dan berkata Cauzinho memiliki kumpulan pakar yang memantau latihannya berdasarkan usianya untuk mengelak mengalami kecederaan, menambah Cauzinho hanya menggunakan suplemen makanan seperti kreatin dan omega-3, dan tidak menggunakan hormon tumbesaran seperti yang dituduh di media sosial.

    Ibu bapa Cauzinho telah memantau perkembangannya dan mendakwa dia membesar secara normal. Dia mempunyai ketinggian 1.34 meter apabila mula berlatih, sekarang ketinggiannya 1.47 meter.

    Berat badannya adalah 33kg apabila mula berlatih, dan sekarang dia memiliki berat badan 38kg. Sepanjang berlatih di gim, dia dilaporkan tidak pernah mengalami kecederaan. – Agensi

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...