Budak istimewa kejar impian miliki kedai roti sendiri

HANOI – Selepas mengalami melecur serius di mukanya semasa kecil, Ngo Quy Hai berhenti sekolah untuk lari daripada pembuli yang mengejeknya kerana penampilannya.

Kini Hi mampu mengukir senyuman, selepas memenuhi impiannya untuk memiliki kedai roti sendiri. Dari senja hingga subuh, awda akan menemui lelaki berusia 27 tahun sedang membakar, menghidang minuman, menjaga bar dan juga bermain gitar di kedai kopi Sunhouse di Daerah Ngc Hoi, wilayah Kon Tum Highlands.

Dia memilih nama ini kerana setiap orang yang berkunjung dijamin mendapat sambutan mesra. Hai jatuh ke tambak api ketika dia baru berusia setahun. Sepuluh pembedahan dilalui dan walaupun dia akhirnya pulih, Hai masih mengalami parut yang meluas di leher dan mukanya.

Pada usia enam tahun, Hai telah dihantar ke sekolah tetapi penampilannya menyebabkan kanak-kanak lain melakukan diskriminasi terhadapnya dan dia hilang keyakinan dan tidak mahu ke kelas.

“Kemudian saya tidak mahu pergi ke sekolah lagi. Saya tidak ingat dengan tepat apa yang kanak-kanak lain katakan, tetapi saya ingat ia sangat mengerikan. Mereka adalah kanak-kanak jadi mereka berkata apa yang mereka fikirkan,” kata Hai kepada Zing News.

Pasukan perubatan Jerman yang menjalankan pembedahan pembinaan semula muka utama untuk Hai. – ANN/VNS
Memiliki kedai kopi dan bakeri di Kon Tum, Hai menguruskan segala-galanya daripada menghidangkan minuman, membakar, juruwang hinggalah kepada pelanggan. – ANN/VNS

Sejak itu, dia hanya tinggal di rumah dan membantu ibunya menjual barang, kadang-kadang bermain dengan anjing dan kucing atau menonton TV. Tiada kanak-kanak di kawasan kejiranan bermain dengan Hai, kecuali seorang budak lelaki bernama Hoang Xien yang dilahirkan pekak dan bisu.

Ketika berusia 10 tahun, Hai berpeluang melawat pusat bandar bersama Xien. Ketika melalui sebuah kedai pastri, dua budak lelaki itu tertarik dengan kek berwarna-warni. Mereka berbincang sesama sendiri tentang menyimpan wang untuk membeli kek pada hari ulang tahun Xien.

Tetapi apabila mereka kembali beberapa bulan kemudian, pemilik pastri enggan menjual kek kepada budak-budak OKU. Melihat rakannya menangis di hadapan kedai kerana tidak mampu membeli kek, Hai bermimpi suatu hari nanti akan membuka kedai roti sendiri di mana semua orang dialu-alukan.

Detik-detik yang mengubah hidup

Hai berkata terdapat dua detik yang mengubah hidupnya. Itulah ketika dia jatuh ke api dan ketika dia mengembara ke Jerman untuk pembedahan pembinaan semula muka utama.

Lima tahun lalu ketika Hai berusia 22 tahun. Buat pertama kali dalam hidupnya, dia menempuh jarak jauh lebih 9,000km. Selepas pembedahan, dia koma selama 21 hari. Hasil usaha pasukan perubatan Jerman yang berdedikasi, dia beransur pulih. Dia kemudian menyedari dia menjalani kehidupan baharu.

Kembali ke Vietnam pada 2017, Hai telah diperkenalkan masakan di KOTO, sebuah perusahaan sosial yang menyediakan latihan vokasional untuk anak muda yang kurang bernasib baik. Pada masa itu, Hai juga belajar membaca dan menulis. Pada usia 23 tahun, Hai belajar menulis setiap perkataan seperti pelajar darjah satu, tetapi kali ini dia tidak menghadapi diskriminasi daripada rakan sekelas seperti 17 tahun lalu.

Selepas menamatkan pengajian, Hai pergi ke bandar Ho Chi Minh untuk bekerja sebentar di restoran untuk menimba pengalaman dan mengumpul modal bagi merealisasikan impiannya.

Pada awal 2021, dia memutuskan untuk berhenti kerja di bandar untuk pulang ke kampung halaman dan memulakan perniagaan. Pada mulanya keluarganya tidak menyokong keputusan berani ini kerana berisiko membuka kedai semasa pandemik COVID-19.

Bagaimanapun, Hai masih bertekad untuk meneruskan matlamatnya. Dia menyewa sebuah rumah lama di bandar dan mengubahnya menjadi kedai kopi dan bakeri seorang diri. Pada akhir April, kedai itu dibuka secara rasmi.

Pada mulanya, ramai pelanggan yang tidak berkunjung selepas melihat wajah pemiliknya, lama-kelamaan mereka membiasakan diri dengan budak peramah berpenampilan istimewa itu.

“Kedai itu kecil. Saya berasa gembira kerana saya telah melakukan semuanya sendiri. Saya gembira kerana lebih ramai orang datang ke kedai dan menyukai tempat ini,” kata Hai.

Rakannya Hoang Xien sering melawatnya malah tinggal selama seminggu untuk membantu. Setelah sekian lama, persahabatan mereka masih sama. Terdapat satu perkara yang berubah: mereka tidak lagi perlu menangis di hadapan kedai roti lagi. – ANN/VNS