Budak lapor polis basikal lambat dibaiki

KERALA, 29 NOV – Polis di India menerima laporan yang agak membingungkan mereka apabila seorang kanak-kanak lelaki membuat aduan melalui surat mengenai kelewatan sebuah kedai membaiki basikalnya.

Kanak-kanak bernama Abin itu membawa sepucuk surat tulisan tangannya ke Balai Polis Meppayur bagi membuat laporan polis mengenai hal itu.

Menurut laporan The New Indian Express online, surat bertarikh 25 November dari pelajar sekolah Elampilad UP di Kozhikode itu menjelaskan bahawa dia dan adiknya menghantar basikal mereka untuk dibaiki di kedai berkenaan semenjak September lalu.

Abin dalam suratnya mengatakan, “Mereka mengambil wang pendahuluan sebanyak 200 rupee namun setiap kali kami menghubungi mereka, mereka tidak menjawab panggilan kami atau jika menjawab, mereka hanya memberitahu akan membaikinya secepat mungkin. Kedai itu pula pada kebanyakan masa tutup.”

Menurut Abin lagi, disebabkan tiada orang lain dapat pergi melihat keadaan basikal mereka, maka mereka terpaksa menulis surat tersebut. Dalam suratnya itu juga, Abin meminta pihak polis memulangkan basikal mereka.

Susulan aduan tersebut, pihak polis menghantar anggotanya bagi mengetahui punca sebenar kelewatan. Tuan punya kedai dilaporkan terpaksa menutup kedai buat sementara waktu kerana kesihatannya yang tidak mengizinkan dan juga kesibukan menguruskan perkahwinan anak lelakinya namun berjanji akan segera membaiki basikal kanak-kanak itu. – Agensi